LONDON: Pengurus Chelsea, Xabi Alonso memuji persembahan bintang muda Brazil, Estevao selepas pemain berusia 19 tahun itu membantu The Blues melakar kemenangan 2-0 ke atas Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
Alonso menyifatkan Estevao layak menikmati malam gemilang itu selepas pemain sayap berkenaan membuktikan kemampuannya ketika diberi peluang berada dalam kesebelasan utama.
Keputusan Alonso menurunkan Estevao hadir ketika pemain itu sebelum ini menjadi perhatian penyokong yang mempersoalkan peluang permainannya, selain timbul spekulasi media mengenai kemungkinan dia meninggalkan Stamford Bridge.
Bagaimanapun, pemain muda itu membalas kepercayaan pengendalinya dengan aksi bertenaga menerusi kelincahan dan gerakan menggeleceknya yang beberapa kali menyusahkan pertahanan United.
Malah, Estevao hampir menempa nama dalam senarai penjaring sebelum jaringannya dibatalkan akibat kedudukan ofsaid yang cukup tipis.
“Saya sangat gembira untuknya dan dia memang layak menikmati perlawanan ini. Dia mempunyai hubungan yang baik dengan penyokong,” kata Alonso.
Kemenangan itu turut menjadi suntikan semangat buat Chelsea selepas melalui minggu mengecewakan apabila tewas 0-2 kepada Tottenham Hotspur dalam aksi derbi London, sebelum tersingkir daripada Piala Liga menerusi penentuan penalti ketika berdepan Liverpool, Rabu lalu.
Kejayaan menewaskan United sekali gus memberi peluang kepada Alonso dan anak buahnya kembali membina momentum dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam persaingan EPL.-AGENSI











