SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui belum rezeki buat dirinya untuk menaiki podium di Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Dalam perlumbaan di laman sendiri itu, Hakim Danish terlepas podium dan menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan masa 33 minit 12.044 saat (s).
Keputusan tersebut juga menyekat hasrat pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu untuk menamatkan penantian 14 tahun, selepas mentornya, Zulfahmi Khairuddin menjadi wakil terakhir Malaysia mencatat keputusan podium di Sepang pada 2012.
Hakim Danish yang kini mengumpul 116 mata dan kekal di kedudukan kesembilan berkata, dia telah berjuang daripada awal sehingga kepada perlumbaan sebenar dan berusaha sehabis baik.
“Saya cuba untuk menamatkan perlumbaan di podium, tetapi saya rasa mungkin belum rezeki saya.
“Sudah tentu saya mahu mendapatkan podium, tetapi terlepas dan menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat. Di dalam perlumbaan tadi saya cuba bersaing, tetapi di selekoh terakhir, saya sedikit terlajak sewaktu cuba memintas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Mengulas mengenai persaingan antara jentera yang dipacunya KTM dan Honda, anak jati Terengganu itu memberitahu, seperti semua sedia maklum, jentera Honda memiliki kelebihan di selekoh berkelajuan tinggi seperti yang ada di Sepang.
Justeru, jelas Hakim Danish, ia memberi sedikit kelebihan untuk pelumba yang menggunakan Honda, tetapi, dalam masa sama, dia enggan menjadi faktor tersebut sebagai alasan dan berjanji untuk beraksi lebih baik dalam perlumbaan akan datang.
Sementara itu, Zulfahmi berkata, walaupun terlepas podium, beliau tetap berpuas hati dengan keputusan yang dicatat Hakim Danish kerana menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat adalah satu keputusan yang baik.
“Jika kita hendak bandingkan dengan persembahan Danish di Phillip Island, minggu lalu, dan sekarang di berada di kedudukan keempat, hampir mencatat podium, saya berpuas hati dan pasukan juga gembira,” katanya.
Zulfahmi juga mahukan pelumba bimbingannya itu memberi fokus perlumbaan demi perlumbaan, tanpa terlalu memikirkan keputusan dalam Kejuaraan Dunia secara keseluruhan.
“Kalau Danish lebih fokus kepada satu demi satu perlumbaan, keputusannya lebih baik berbanding terlalu memikirkan cara bagaimana hendak meminta Veda (Pratama) atau Brian Uriarte,” tegasnya.
Juara dunia Moto3 yang baharu, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team menjuarai perlumbaan dengan masa 33:07.634s, manakala tempat kedua menjadi milik Veda Pratama dari Honda Team Asia (33:11.388s) dan penunggang Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe di kedudukan ketiga (33: 11.818s).- UTUSAN











