Bas ekspres menanti masa ‘gulung tikar’ - Utusan Malaysia

Bas ekspres menanti masa ‘gulung tikar’

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua menjejaskan pengusaha bas ekspres.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua nege­ri dilihat bakal melumpuhkan sektor pengangkutan terutama melibatkan perkhidmatan bas ekspres.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa), Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, pengusaha dijangka kehilangan 90 peratus pendapatan susulan sekatan rentas daerah.

Menurut beliau, nasib pengusaha bas ekspres bagai terpinggir apabila pembentangan Belanjawan 2021 tidak menawarkan ini­siatif tepat kepada kumpulan berkenaan.

“Tawaran pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara tidak tepat.

“Bas yang ada pun tak jalan bagaimana mahu beli bas baharu? Jumlah perjalanan pun terpaksa dikurangkan lebih banyak. Kini yang tinggal satu trip pagi satu trip malam.

“Malah, penumpang memang sangat kurang tapi sewa terminal perlu dibayar. Itu belum lagi hutang lain yang tidak boleh ditangguhkan di bawah pinjaman syarikat kredit komuniti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kerajaan kelmarin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua nege­ri di Semenanjung kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang bermula 9 November sehingga 6 Disember.

Dalam pada itu, pemilik syarikat Utama Ekspres, Tajuddin Mohd Yunus berkata, dia akur dengan keputusan kerajaan tetapi dalam masa terpaksa menanggung kesan daripada pelaksanaan PKPB.

“ Kami antara terkesan sejak bulan April lalu. Jadi setakat ini kami teruskan sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, pengusaha tidak menerima manfaat walaupun selepas pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu.

“Saya jangka banyak syarikat akan gulung tikar selepas ini dengan keadaan terbaru PKPB di hampir semua negeri.

“Perlu diingat walaupun ada moratorium, pinjaman daripada syarikat kredit komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tetap perlu dibayar. Jadi ini sudah tentu menyukarkan kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×