Sembilan bot nelayan Vietnam jadi tukun Segantang - Utusan Malaysia

Sembilan bot nelayan Vietnam jadi tukun Segantang

ANTARA sembilan bot nelayan Vietnam yang ditenggelamkan di Pulau Susu Dara berhampiran perairan Pulau Perhentian di Besut, Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Sebanyak sembilan bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan di Pulau Susu Dara berhampiran perairan Pulau Perhentian, di sini hari ini untuk dijadikan tukun tiruan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua tukun tiruan itu dinamakan tukun Segantang sempena memperingati jasa kapal KM Segantang yang berusia lebih separuh abad.

“KM Segantang adalah kapal tertua Maritim Malaysia yang banyak berjasa dalam operasi di perairan Terengganu sebelum diserahkan semula kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Penenggelaman bot-bot ini sebagai tukun adalah antara inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin di samping sebagai tanda komitmen Maritim Malaysia dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim

Menurut Muhammad Suffi, pelupusan bot nelayan Vietnam itu membuktikan ketegasan kerajaan
dalam memelihara kedaulatan perairan negara dan memastikan sumber perikanan tidak terus dirompak nelayan asing.

Katanya, sehingga kini sebanyak 155 buah bot nelayan asing dilupuskan secara tukun tiruan dengan tahun sebanyak 14 bot yang dilucut hak ditenggelamkan oleh Maritim Malaysia Terengganu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN