Salah tekan pedal, kereta rempuh kedai - Utusan Malaysia

Salah tekan pedal, kereta rempuh kedai

SEBUAH kereta Perodua Myvi dipandu seorang warga emas merempuh kedai menjual perabot dan barangan elektrik di Jalan PPM2 Plaza Malim Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara tersalah tekan pedal, kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki warga emas merempuh masuk sebuah kedai perabot dan elektrik di Jalan PPM2 Plaza Malim Melaka di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, seorang pelanggan wanita berusia 45 tahun turut luka di kepala, muka, tangan dan kaki serta mengalami sakit pinggang, manakala pemandu berusia 63 tahun berkenaan tidak mengalami kecederaan. 

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila lelaki tersebut mahu menekan brek untuk berhenti, namun tertekan pedal minyak. 

“Difahamkan ketika kejadian pemandu itu sedang mencari tempat meletak kenderaan sebelum tiba-tiba tayar hadapan sebelah kiri berbunyi menyebabkan pemandu yang ingin memberhentikan kenderaan tertekan pedal minyak. 

“Kereta Myvi itu kemudian terbabas ke kiri lalu merempuh masuk sebuah kedai menjual perabot dan barangan elektrik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Ujar Hasan, ketika kejadian terdapat beberapa orang pelanggan lain, namun tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali wanita tersebut yang kini dirawat di Hospital Melaka.

“Hasil maklumat awal, sebanyak 48 barangan elektrik pelbagai jenis dilaporkan mengalami kerosakan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM65,000,” katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya