Pas masih bersama MN – Mursyidul Am - Utusan Malaysia

Pas masih bersama MN – Mursyidul Am

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penyertaan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna parti itu sudah melupakan Muafakat Nasional (MN).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (gambar) berkata, tidak menjadi masalah jika UMNO belum bersedia menerima PN kerana ruang kerjasama dalam MN masih terbuka luas dan terus diperkukuh.

Beliau berkata, adalah perkara biasa apabila UMNO belum dilihat bersedia untuk bersama dengan PN dan ia tidak bermakna Pas melupakan MN.

“Apa yang penting PN dan MN mestilah bergerak ke arah satu matlamat sama iaitu memelihara Perlembagaan dan mendau­latkan Islam yang akhir­nya menyumbang kepada penya­tuan rakyat di negara ini.

“Jangan kerana UMNO menolak untuk bersama PN, lalu kita mengorbankan MN yang di­meterai bersama sebelum ini,” katanya semalam.

Menurut Hashim, ketiga-tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah lambang kuasa politik umat Islam di negara ini yang mana kerjasama parti-parti tersebut perlu diperkukuh.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis memperingati ulang tahun penubuhan MN perlu segera diadakan bagi memperbaharui azam dan kesungguhan dalam mengembangkan muafakat berkenaan.

“Saya menyokong cadangan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) supaya diadakan majlis memperingati piagam MN.

“Pas tetap komited dengan apa yang telah dijanjikan dan berharap supaya ia boleh membantu dalam perkembangan politik Melayu Islam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pertimbangan sama ada Pas akan bersama PN atau MN dalam pilihan raya akan datang masih terbuka luas dan boleh ditentukan bila tiba masanya.

“Jika dasar PN bercanggah dengan kebenaran Islam yang sebenar, maka Pas tidak akan bersama begitu juga sebaliknya. Pertimbangan Pas ada asasnya iaitu kebenaran yang dipandu oleh syariat Islam.

“Bagaimanapun, Pas sangat berharap kesepaduan antara parti-parti Islam di negara ini terus diperkukuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN