Membina daya tahan menerusi inklusiviti - Utusan Malaysia

Membina daya tahan menerusi inklusiviti

Hutang isi rumah dalam kalangan peminjam dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan diramal paling banyak meningkat pada separuh pertama 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Hari ini, kadar kemiskinan di negara ini menurun kepada 5.6 peratus dengan purata pendapatan bulanan isi rumah RM7,903 berbanding RM1,373 pada 1970. Ini seharusnya dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan kerana majoriti isi rumah yang sebelum ini hidup dalam kemiskinan kini berjaya mencapai taraf hidup lebih selesa,

Kita berjaya mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini seperti krisis komoditi pada 1986, krisis kewangan Asia (1997/1998) dan krisis kewangan global (2008).

Namun, Covid-19 bakal memberikan cabaran lebih getir kerana melibatkan seluruh dunia dan kita sendiri tidak pasti bila pandemik ini akan berakhir.

Berikut teks ucapan Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP, semalam sempena penerbitan laporan berkala The State of Households 2020 yang turut mengupas cabaran tersebut dan langkah-langkah yang harus kita sama-sama laksanakan.

State of Households (SOH), yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) setiap dua tahun bermula dari 2014, meninjau kemajuan dan pembangunan negara menerusi kaca mata isi rumah. Pendekatan ini membolehkan kita memahami pembangunan dari aspek manusiawi, melangkaui angka-angka utama seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan asing dan mendalami perkara yang paling penting, iaitu kebajikan dan kesejahteraan isi rumah.

Pada permulaan perjalanan kita sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, tumpuan terhadap isi rumah adalah sangat sedikit kerana model ekonomi laissez faire yang merupakan pemikiran utama ketika itu, meletakkan pertumbuhan sebagai aspek ekonomi paling penting. Menurut teori ini, kesan pertumbuhan akan memberi manfaat kepada semua peringkat pendapatan melalui trickling down effects. Oleh yang demikian, kerajaan tidak perlu memberi tumpuan kepada aspek pembahagian.

Namun, manfaat ini tidak berlaku. Pada 1970, iaitu 13 tahun selepas kemerdekaan, kadar kemiskinan yang pada 1957 adalah sebanyak 51.2 peratus hanya menurun sedikit kepada 49.3 peratus. Lantas pada 1971, dengan perubahan dasar ekonomi daripada laissez faire kepada pertumbuhan dengan ekuiti, tumpuan kerajaan beralih kepada segmen isi rumah.

BANGGA

Hari ini, kadar kemiskinan menurun kepada 5.6 peratus dan purata pendapatan bulanan isi rumah ialah RM7,903, iaitu hampir enam kali ganda berbanding RM1,373 pada 1970 pada harga benar. Kisah evolusi isi rumah Malaysia ini adalah suatu kisah yang begitu membanggakan. Majoriti isi rumah yang pada awalnya hidup dalam kemiskinan, kini kebanyakannya berjaya mengecapi taraf hidup yang wajar.

Namun, kerja kita belum selesai kerana masih terdapat pelbagai cabaran di hadapan. Laporan SOH 2020 melihat kepada cabaran yang akan kita tempuhi dalam perjalanan untuk memastikan kesejahteraan setiap isi rumah.

Hari ini, kita sedang hidup dalam masa dan suasana yang luar biasa. Pandemik Covid-19 telah membinasakan banyak norma biasa kehidupan di seluruh dunia. Bagi Malaysia, kita dilanda satu musibah yang telah mengganggu-gugat seluruh kehidupan masyarakat.

Benar, sebelum ini, kita berhadapan dengan pelbagai krisis seperti krisis komoditi pada 1986, krisis kewangan Asia (1997/1998) dan krisis kewangan global (2008).

Namun, tiada satu pun daripada krisis-krisis sebelum ini berlaku dalam magnitud yang kita hadapi sekarang akibat Covid-19, yang menjejaskan kehidupan manusia di seluruh pelosok dunia. Banyak nyawa terkorban, ramai kehilangan punca pendapatan dan perniagaan berhadapan masalah kewangan yang getir.

Krisis kali ini juga dijangka berpanjangan untuk beberapa tahun akan datang tanpa sebarang tanda-tanda pemulihan yang meyakinkan.

Namun, seperti kata pepatah, never let a crisis go to waste, pengajaran daripada krisis ini harus kita gunakan dengan sebaik-baiknya untuk melakukan perubahan struktur dalam jangka pendek dan jangka panjang. Kita harus mengambil peluang daripada krisis ini untuk membina semula sebuah masyarakat yang lebih baik, lebih kukuh, dan lebih saksama berbanding sebelum krisis.

Sungguhpun pada zahirnya trend pembangunan secara keseluruhan adalah baik, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian lebih khusus. Terdapat sejumlah penduduk yang masih hidup di bawah garis kemiskinan, iaitu 5.6 peratus atau 405,000 isi rumah. Selain mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan, terdapat 11.3 peratus isi rumah lagi (atau 835,000 isi rumah) tergolong dalam kategori rentan (vulnerable). Mereka disebut sebagai relatively poor.

Dalam kesempatan ini, saya ingin bercakap tentang satu nilai teras untuk kita hayati bersama iaitu a sense of decency. Dalam lembaran sejarah sejak kita mencapai kemerdekaan pada 1957, a sense of decency menjadi penyuluh menghapuskan ketidaksaksamaan dalam masyarakat. Berpandukan nilai inilah, kita membina sekolah dan hospital di seluruh negara, terutama di luar bandar dan membina sekolah berasrama untuk membawa anak-anak dari kampung keluar dari kepompong kemiskinan dan seterusnya menjadi golongan profesional. Kita berjaya meningkatkan profesional bumiputera daripada hanya 107 orang pada 1970 kepada 43,367 pada 2016.

EMPATI

A sense of decency terus menjadi nilai penting untuk kita menghapuskan ketidakadilan sosial yang terpampang dengan jelas, terutama akibat Covid-19. Nilai ini sangat diperlukan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang saksama, terutama apabila krisis yang kita alami sekarang mendedahkan segala macam bentuk ketidaksaksamaan.

Dengan a sense of decency, kita akan berasa empati kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Dengan sesetengah daripada kita kehilangan pekerjaan dan terdapat perniagaan kecil dan sederhana terpaksa gulung tikar, sikap empati sangatlah diperlukan pada masa ini.

Pada hari ini, dengan kesulitan ekonomi yang semakin menekan dan perpecahan menjadi suatu godaan, kita harus kembali kepada nilai teras kita, iaitu a sense of decency yang mungkin menjadi lebih penting sekarang berbanding masa-masa sebelum ini, ekoran pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa, harta dan pendapatan kita semua, tidak mengira bangsa atau agama.

Kita harus memastikan semua rakyat hidup dengan taraf hidup yang baik. Justeru, kita (yakni kerajaan secara keseluruhannya, pegawai-pegawai kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC), masyarakat, civil society organisations dan swasta mesti bekerja keras dan bertungkus-lumus untuk memastikan idea ini tercapai. Usaha ini tidak akan berjaya jika dilaksanakan secara marginal.

Dalam usaha ini, kita mesti berpegang kepada semangat membujur lalu, melintang patah.

Dalam membasmi kekurangan yang wujud dalam pelbagai bentuk (different forms of deprivation), kita harus menyasarkan matlamat yang lebih tinggi iaitu daripada menyediakan taraf hidup yang minimum (minimum living standards) kepada taraf hidup wajar (decent living standards).

Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dalam pelbagai bentuk? Kekurangan yang paling nyata ialah kemiskinan pendapatan. Namun, terdapat bentuk-bentuk kekurangan lain menyebabkan satu-satu isi rumah tidak dapat hidup dalam taraf hidup yang wajar. Sebagai contoh, seorang ibu tunggal yang terpaksa mempunyai dua pekerjaan untuk menyara kehidupannya dan anak-anak. Pendapatan isi rumahnya mungkin melebihi garis kemiskinan, tetapi beliau tidak dapat memastikan anak-anaknya membesar dengan perhatian yang secukupnya.

Oleh yang demikian, pengukuhan sistem perlindungan sosial adalah penting untuk memberikan jaringan keselamatan bagi isi rumah yang berhadapan dengan pelbagai jenis risiko dan kesukaran sepanjang hidup yang mengakibatkan mereka sentiasa terperangkap dalam kitaran hidup di bawah taraf hidup wajar.

AKSES

Program pemerkasaan ekonomi beserta sistem perlindungan sosial yang meluas seperti menyediakan akses sejagat (universal access) kepada sistem kesihatan dan pendidikan yang berkualiti dan juga sokongan kepada keluarga. Contohnya, faedah anak dan pencen sosial akan memberikan jaringan keselamatan bukan sahaja kepada isi rumah yang miskin dan isi rumah rentan tetapi juga bagi sebahagian isi rumah dalam kategori M40.

Satu lagi nilai yang saya kira juga sangat penting ialah pragmatisme. Dalam sejarah negara ini, kita sentiasa bersikap pragmatik dalam membuat keputusan-keputusan besar dan tidak bersikap ideologikal ataupun menyandarkan keputusan kita bulat-bulat berdasarkan apa yang terdapat dalam buku teks atau apa yang dinasihatkan pihak-pihak tertentu dari Barat.

Salah satu contoh sikap pragmatik kita daripada begitu banyak contoh ialah ketika krisis kewangan Asia 1997/1998. Kita telah bertindak bertentangan dengan norma pandangan dunia dan bertentangan dengan conventional wisdom. Langkah unorthodox yang dilaksanakan pada 1 September 1998 berjaya mengelakkan ekonomi negara daripada satu malapetaka yang hanya menunggu masa untuk berlaku. Kita berjaya menepis malapetaka tersebut disebabkan keberanian kita.

Dalam aspek pragmatisme, kita harus ingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara dagang yang bergantung kepada rantaian bekalan global. Berdasarkan satu anggaran, hampir separuh daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia adalah daripada rantaian bekalan.

PERDAGANGAN

Dengan pandemik yang berlaku sekarang dan perang perdagangan China dan Amerika Syarikat, kita harus berhati-hati supaya kita tidak terperangkap dalam kemelut ini. Seperti kata pepatah, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Kita harus melihat semula kepada rantaian bekalan kita dan we must hedge our bets.

Pada masa sama, kita juga harus melihat dan memperbaiki struktur ekonomi. Sebagai contoh, dalam sektor pertanian, kita harus bergerak daripada monocropping atau dominasi satu tanaman seperti kelapa sawit kepada kepelbagaian tanaman termasuk tanaman kontan (cash crop) lain supaya kita lebih berdikari (self-sufficient) dan tidak meletakkan all eggs in one basket. Seperti kata pepatah, lalang sehelai bukanlah tempat terbaik untuk melindungi diri kita.

Gabungan nilai a sense of decency dan pragmatisme adalah gabungan yang unggul untuk mengharungi krisis ini dan mewujudkan masyarakat lebih saksama. Dengan khazanah alam yang dianugerahkan ke atas negara tercinta kita ini, tiada sebab untuk mana-mana rakyat hidup dalam keadaan rentan, apatah lagi dalam kemiskinan. Kita harus melihat lebih daripada sekadar angka-angka utama (seperti KDNK) dan melihat apa yang berlaku di peringkat isi rumah.

Tidak dinafikan, kita akan berhadapan dengan cabaran yang getir dalam beberapa tahun akan datang. Tetapi, berdasarkan sejarah, insya-Allah, kita akan berjaya mengharungi krisis ini seperti mana sebelum ini dan muncul sebagai sebuah masyarakat yang lebih kuat dan saksama.

Seperti kata pepatah, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Dr. Martin Luther King pernah menyebut, change does not roll in on the wheels of inevitability, but comes through continuous struggle. Kejayaan demi kejayaan yang kita capai sejak kemerdekaan bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan (accidental) tetapi ia diperoleh menerusi kepimpinan yang baik dan kerja keras serta iltizam rakyat yang jitu. Ibu bapa kita telah mengorbankan keselesaan demi memastikan taraf hidup anak-anak akan lebih baik daripada mereka.

Oleh yang demikian, kerajaan dan rakyat perlu terus berganding bahu mendedikasikan diri untuk bekerja keras dengan iltizam yang ikhlas dan berani membuat keputusan unorthodox bagi melaksanakan segala yang diperlukan bagi memastikan taraf hidup yang baik bagi setiap rakyat.

Pada akhirnya, layanan kita terhadap isi rumah yang lemah, miskin dan rentan akan mencerminkan sifat dan kekuatan sebenar negara ini.
Malaysia mempunyai 7.28 juta isi rumah. Adalah menjadi impian kita agar semua isi rumah dapat hidup dalam suasana yang aman damai dan selamat dengan peluang untuk menikmati taraf hidup yang wajar (decent standard of living) dan mampu mencapai matlamat hidup masing-masing. Insya-Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN