Ibu bapa STIAS cemas, tidak dapat jumpa anak - Utusan Malaysia

Ibu bapa STIAS cemas, tidak dapat jumpa anak

Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu bapa pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang mengakui terkejut dan cemas selepas mengetahui terdapat kes positif Covid-19 melibatkan pelajar di sekolah tersebut.

Seorang bapa pelajar tingkatan satu yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar memberitahu, dia cemas selepas dimaklumkan jumlah pelajar yang positif wabak tersebut semakin meningkat.

“Terkejut dan tidak sangka boleh jadi begini. Sekarang ini anak saya masih berada di sekolah menantikan hasil ujian saringan yang dilakukannya semalam.

“Hari ini (semalam) saya datang membawakan barang-barang ke­perluan anak, kerana saya difahamkan selepas ini sekolah akan ditutup dan semua pelajar dan guru akan dibawa ke pusat kuarantin,” katanya kepada Utusan Malaysia di luar pagar sekolah tersebut di sini semalam.

STIAS menerusi akaun Facebook mengesahkan seramai 33 orang orang pelajarnya positif Covid-19 semalam.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil ujian saringan yang telah dibuat seluruh warga kerja dan pelajar di STIAS Se­nawang berikutan salah seorang daripada pelajarnya didapati positif Covid-19.

Sementara itu, seorang ibu kepada pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan yang mahu dikenali sebagai Nurzatul memberitahu, dia dimaklumkan tentang kejadian tersebut semalam dan turut mengakui sedikit bimbang dengan keputusan saringan yang dilakukan oleh anaknya semalam.

“Anak saya telah membuat ujian saringan semalam namun keputusannya belum lagi diperoleh. Saya harap semuanya tiada apa-apa. Guru kelas anak saya sentiasa mengemas kini perkembangan menerusi kumpulan WhatsApp,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa anggota polis dan Rela membuat kawalan di luar kawasan sekolah malah sebuah sebuah pos kawalan sementara telah dibuka.

Ibu bapa yang mahu menghantar barang kepada anak-anak mereka yang masih berada di sekolah tersebut dikehendaki meletakkannya di atas meja di luar pagar sekolah.

Mereka tidak dibenarkan memasuki ke perkarangan sekolah dan selepas meletakkan barang, ibu bapa diminta menggunakan cecair pembasmi kuman. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×