Terima kasih Agong: Bekas ahli Al-Maunah tak sangka bebas awal

Terima kasih Agong: Bekas ahli Al-Maunah tak sangka bebas awal

SALAH seorang daripada 13 anggota Al-Maunah yang diampunkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika ditemui di Dungun. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang dibebaskan awal dari penjara mengucapkan terima ka­sih kepada kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong ke­rana mengurniakan kejutan yang tidak disangka-sangka itu kepada mereka.

Ketiga-tiganya yang ditemui Utusan Malaysia di Sungai Petani, Kedah; Banting, Sela­ngor dan Dungun, Terengganu me­nyi­fatkan pembebasan awal setelah hampir 20 tahun berada di sebalik tirai besi bagaikan suatu mimpi sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu penjara.

“Ketika melangkah meninggalkan penjara, jasad saya se­per­ti masih tertinggal di sana. Sa­ya percaya arwah ibu bapa saya ten­tunya kecewa saya ditahan dan dijatuhi hukuman ke­rana terlibat dengan Al-Maunah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, saya ucapkan te­rima kasih kepada kerajaan Ma­laysia dan Yang di-Pertuan Agong kerana mengurniakan pem­bebasan awal kepada saya dan rakan-rakan.

“Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 tahun ini (kelmarin) amat bersejarah buat saya kerana diberi peluang hidup bebas selepas dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat,” katanya yang mahu namanya dirahsiakan ketika di­temui di rumahnya di sebuah kampung di Sungai Petani, Kedah malam kelmarin.

Temubual salah seorang anggota Al-Maunah yang dibebaskan di Kampung Seri Cheeding. – UTUSAN/ SAIRIEN NAFIS

Seorang lagi bekas ahli Al-Mau­nah yang turut diberi pengampunan dan kembali ke pangkuan isteri dan anak-anaknya di Kampung Seri Chee­ding, Banting berkata, dia bersyukur dengan pembebasan awal malah yang cukup mengharukan apabila isteri dan anak-anaknya sanggup me­nunggu kepulangannya selama hampir 20 tahun.

“Alhamdulillah, anak-anak menerima saya dan kami sekarang banyak menghabiskan wak­tu bersama terutama solat berjemaah.

“Ketika dalam penjara, pernah saya menyuarakan kepada isteri untuk melepaskannya, namun dia tetap setia dan berkorban menjaga anak-anak dengan mengambil upah mengasuh anak orang,” katanya yang kini berusia 54 tahun.

Sementara itu, di Dungun, bekas ahli Al-Maunah berusia 60 tahun itu turut bersyukur kerana masih diberi peluang kedua untuknya kembali bersama keluarga dan menghabiskan sisa-sisa hidup.

Sebaik melangkah keluar dari sebuah penjara di Selangor, hanya tangisan mengiringi penyatuan semula dia dengan isterinya yang menunggu selama hampir dua dekad.

Mengimbau hari pembebasannya pada pagi 17 Ogos lalu, bapa kepada enam anak itu berkata, hari tersebut tidak seperti hari-hari lain apabila dia bersama tujuh rakan yang juga bekas ahli Al-Maunah dipanggil ke pejabat penjara.

“Sebaik diumumkan pegawai penjara saya dan rakan-rakan dibebaskan, masing-masing seperti tidak percaya sambil mengucap syukur kepada Allah SWT.

“Kami juga berulang kali meluahkan rasa terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi pengampunan buat kami. Paling penting, kami juga tak mahu mati sebagai banduan.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menulis surat terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi sangat menghargai kebaikan Seri Paduka sehingga akhir hayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×