Peneroka Felda tak cukup makan - Utusan Malaysia

Peneroka Felda tak cukup makan

Resit pendapatan seorang peneroka Felda berbaki RM79.15 sen selepas menjual hasil getahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bayangkan gaji dipotong setiap bulan tanpa ada butiran terperinci walaupun penyata dikeluarkan dan diserahkan kepada pekerja.

Demikian realiti dihadapi lebih separuh peneroka Felda yang hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Apa yang menyedihkan, ada peneroka menerima bayaran bersih hanya RM50 sebaik sahaja hasil sawit atau getah dijual sedangkan pengurusan Felda dikatakan berjanji tidak ada pemotongan terhadap hasil yang kurang daripada RM1,000.

Penasihat Suara Generasi Baru Felda (SGBF), Datuk Zulkefli Nordin berkata, masalah itu timbul melibatkan peneroka yang menyerahkan pengurusan ladang kepada Felda Teknoplant Sdn. Bhd. sebelum diambil alih Felda beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, peneroka pernah mengadu perkara tersebut kepada pengurusan Felda bagaimanapun sehingga kini berlarutan dengan alasan masih tidak mengemas kini sistem biarpun selepas hampir tiga bulan berlalu.

“Felda tidak ada butiran mengapa bayaran peneroka dipotong. Yang ada hanya wang dibayar. Apa yang dikesalkan, peneroka yang menerima bayaran RM1,000 ke bawah turut dikenakan pemotongan sehingga ada yang dapat RM50 hingga RM70 sahaja.

“Jadi apa peneroka nak makan? Apabila diadukan kepada pengurusan, mereka kata ia masalah teknikal. Tetapi kini selepas tiga bulan masih tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Menurut Zulkefli, Felda turut berdepan pelbagai isu lain termasuk pelantikan 11 jawatan yang tiada keperluan buat masa kini.

“Kononnya ada ‘pakar’ dari luar untuk menaikkan kembali imej Felda dengan kos sehingga mencecah lebih RM600,000 sebulan bagi membayar gaji dan elaun mereka.

“Namun, kini apa yang terjadi? Nak sediakan penyata bayaran pun kelam-kabut. Itu belum lagi isu penyediaan dan memuktamadkan penyata hutang peneroka Felda. Saya sangat berharap dan yakin dengan kesungguhan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh menyelesaikan isu ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Generasi Baharu Felda, A. Rashid Ridha Muhamad berkata, peneroka yang ladangnya diuruskan Felda meraih pendapatan RM2,000 ke RM5,000 bagi tiga hingga enam tan metrik sawit untuk tempoh sebulan.

“Itu pun bergantung kepada hasil dan harga pasaran. Kalau kurang, maka kuranglah pendapatan kami.

“Sebab itu kami bawa isu ini ke peringkat atasan beberapa kali namun belum ada apa-apa tindakan. Saya sangat berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN