23 maut terperangkap dalam kenderaan - Utusan Malaysia

23 maut terperangkap dalam kenderaan

BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,280 kes panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan bantuan membuka pintu kereta dalam tempoh empat tahun sehingga Ogos lalu.

Dalam tempoh itu, sebanyak 23 mangsa maut manakala sembilan cedera akibat terperangkap dalam kenderaan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan statistik terdapat peningkatan kes setiap tahun dengan sebanyak 404 kes dicatatkan pada tahun lalu berbanding 323 kes pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, panggilan kecemasan paling tinggi diterima melibatkan kes kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan yang terkunci.

“Ada juga kes yang dilaporkan adalah bantuan bagi mengeluarkan mangsa ditemukan maut akibat lemas dalam kenderaan selain terperangkap dalam kenderaan selepas terlibat kemalangan jalan raya.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 1,248 mangsa diselamatkan pasukan bomba.

“Ini hanya data direkodkan pasukan bomba, ada sesetengah kes laporan awal dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kita hanya datang untuk membantu, ” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, tidak semua mangsa yang ditemukan maut di dalam kenderaan berpunca akibat keracunan gas karbon monoksida kerana ada juga kes melibatkan mereka yang mempunyai sejarah seperti sakit jantung sehingga menyebabkan kematian mengejut.

“Kes-kes lemas keracunan gas karbon monoksida jarang berlaku, tidak tinggi seperti terperangkap dalam kenderaan. Bagaimanapun, masyarakat kini perlu lebih peka dan ambil serius mengenai kes-kes seumpama ini agar perkara sama tidak berulang,” jelasnya.

Khamis lalu, percutian empat pelajar sebuah kolej kejururawatan yang sedang menunggu majlis konvokesyen berakhir tragedi apabila tiga daripadanya meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida.

Seorang lagi mangsa kritikal dan masih menerima rawatan di hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×