Menyewa homestay untuk pecah rumah - Utusan Malaysia

Menyewa homestay untuk pecah rumah

Dzulkhairi Mukhtar (tengah) menunjukkan barangan dirampas melibatkan sindiket pecah rumah di sekitar Iskandar Puteri, Johor. - KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menyamar sebagai penyewa homestay kediaman mewah bagi menjalankan kegiatan jenayah pecah rumah.

Demikian modus operandi enam lelaki warga tempatan bagi menjalankan aktiviti jenayah itu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, taktik itu akhirnya terbongkar setelah polis menerima laporan kes pecah melibatkan sebuah rumah kosong kerana pemilik masih berada di Singapura sejak Mei lalu. 

“Sejurus itu, pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan berjaya mengesan lokasi persembunyian kesemua suspek.

“Mereka akhirnya ditahan dalam empat serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Johor Bahru pada minggu lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.

Menurut Dzulkhairi, siasatan polis mendapati modus operandi kesemua suspek adalah dengan menginap homestay di kejiranan mewah sebelum memecah masuk kediaman yang telah disasarkan. 

Katanya lagi, keenam-enam suspek berusia antara 24 dan 41 tahun, mempunyai 48 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah pecah rumah dan dadah.

“Kesemua suspek kini dikenakan reman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah Dzulkhairi, kerugian dianggarkan bernilai RM180,000 membabitkan sejumlah wang tunai, barang kemas, beg berjenama dan seunit kamera. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya