fbpx

24 September 2020, 5:10 pm

  TERKINI

Kehadiran pelajar ke sekolah merosot

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengesahkan menerima laporan mengenai penurunan kehadiran pelajar ke sekolah di beberapa daerah di negeri ini berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap penularan wabak Covid-19 bagi Kluster Sivagangga.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penurunan tersebut berlaku di sekolah yang berdekatan dengan kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.  

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah perlu menulis surat menyatakan mereka tidak bersedia untuk berbuat demikian kerana bimbang dengan keadaan semasa.

“Langkah itu perlu dilaksanakan kerana pihak sekolah juga bertanggungjawab terhadap proses untuk menentukan kehadiran pelajar malah terdapat ‘markah’ untuk kehadiran bagi pelajar.

“Namun, kita yakin pihak Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan kebimbangan ibu bapa terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.  

Setakat ini, cuma lima sekolah yang ditutup dengan kesemuanya berada dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Palas, SK Hosba dan SK Megat Dewa.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi mengharapkan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kelonggaran tersebut.

“Kalau daerah-daerah yang dekat dengan Kubang Pasu dan Padang Terap, itu kita fahamlah. Tetapi yang daerah jauh, janganlah pula ambil kesempatan,” katanya. – UTUSAN

POPULAR