Najib kena jalani hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta - Utusan Malaysia

Najib kena jalani hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak, selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.Najib dipenjarakan masingh-masing 10 tahun.

Atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta serta lima tahun penjara lagi jika gagal bayar denda.

Untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Ini menjadikan keseluruhan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ke atas Najib ialah 72 tahun.

Namun bekas perdana menteri itu hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana semua hukuman itu berjalan serentak.

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu, Najib dalam rayuannya bersumpah sebagai orang Islam beliau bersaksi kepada Allah bahawa beliau tidak meminta, tidak merancang atau  ditawarkan RM42 juta itu.

“Sebagai orang Islam, wallahi wabillahi watallahi saya tidak meminta, saya tidak merancang atau ditawarkan RM42 juta itu,” katanya ketika bersumpah dari kandang saksi.

Beliau juga berkata, bersaksi kepada Allah tidak tahu mengenai jumlah wang itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram ketika berhujah terhadap rayuan Najib berkata, hukuman dan pengajaran mesti menjadi asas utama kerana ini adalah pertama kali Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didakwa serta disabitkan di mahkamah.
Katanya, mahkamah bertanggungjawab melaksanakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memandang serius masalah rasuah.

“Dalam kes ini, tertuduh wajar dikenakan hukuman paling berat,” katanya.

Sithambaram berkata, hukuman maksimum wajar dikenakan berdasarkan penghakiman mahkamah membabitkan kes rasuah.

Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara Najib boleh ditambah lagi lima tahun.

Pihak pembelaan sedang berhujah bagi menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara dan denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya