SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas lima pertuduhan termasuk mencederakan dua anggota polis, Isnin lalu.
Tertuduh, Zulhilmi Mohd. Ariffin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.
Mengikut dua pertuduhan, Zulhilmi didakwa menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis trafik berpangkat koperal iaitu Hasnol Abd. Ghani dan Ahmad Haizaki Salimon dengan memandu kereta jenis Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh pihak polis.
Justeru, dia dakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh turut didakwa sengaja menghalang tugas Inspektor Mohd. Faizul Ahmad Suhaimi sebagai penjawat awam bagi melakukan pemeriksaan terhadapnya yang memandu kereta jenis Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya itu.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Selain itu, Zulhilmi didakwa mengikut Peraturan 25(1) (n) yang Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan.
Dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM20,000, jika disabitkan kesalahan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 dan Bulatan Andalas Seksyen 13 di sini pukul 10.30 pagi pada 24 Jun lalu.
Tertuduh juga didakwa memasukkan dadah jenis Methaphetamine dan Tetra Hydrocannibol (THC) ke dalam tubuh badan sendiri di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pukul 5.15 petang pada 24 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan RM29,000 bagi semua pertuduhan bersama seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berdekatan.
“Kes ini telah menjadi tular di media sosial dan kepentingan awam serta memberikan kesan kecederaan yang teruk kepada anggota polis trafik yang terlibat,” katanya.
Bagaimanapun, Peguam Muhammad Zufar Elias mewakili Zulhilmi memohon wang jaminan direndahkan berikutan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebagai pekerja kilang selain perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradiknya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM13,000 bersama seorang penjamin dan perlu melaporkan diri dua minggu sekali di balai polis.
Kosmo! difahamkan tertuduh gagal membayar jaminan itu dan ditempatkan sementara waktu di penjara Sungai Buloh.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 31 Julai ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua anggota polis berpangkat koperal cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 15.
Dalam kejadian itu, Hasnol 56, parah akibat tercampak dilanggar Proton Gen 2 tersebut manakala rakannya, Ahmad Haizaki, 36, cedera pada kaki kiri. – K! ONLINE











