Unimap tubuh Jawatankuasa Khas Integriti Akademik - Utusan Malaysia

Unimap tubuh Jawatankuasa Khas Integriti Akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Integriti Akademik sebagai langkah serius mengenal pasti dan menyiasat sebarang kecurangan akademik sama ada berkaitan isu plagiarisme atau pemalsuan dokumen.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, universiti itu tidak berkompromi dengan warga pendidiknya yang melakukan jenayah akademik itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti wujud dan didapati bersalah.

“Ahli akademik yang merupakan para ilmuan dan cendekiawan seharusnya mengekalkan tahap integriti yang tinggi. Maka sebab itu tidak sepatutnya (ahli akademik) melakukan sebarang perlakuan melanggar etika dan amanah yang diberikan,” ujarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Alumni Unimap Bersama Naib Canselor di sebuah hotel di Pulau Pinang, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Unimap, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Uda Hashim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan dan Pendaftar Unimap, Mohd. Saad Din.

R. BADLISHAH menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang alumni yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Alumi bersama Naib Canselor di sebuah hotel di Pulau Pinang, semalam. – UTUSAN ONLINE

Beliau mengulas kenyataan Majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam (MPLPU) baru-baru ini yang memandang serius amalan plagiat atau mencedok karya orang lain yang dilihat semakin berleluasa dalam kalangan ahli akademik di universiti-universiti di Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga merangkap Pengerusi MPLPU, Prof Datuk Dr. Sudin Haron berkata, sikap memplagiat hasil kerja orang lain merupakan satu kesalahan yang serius dan perlu diberi perhatian.

Menjelaskan lebih lanjut, R. Badlishah berkata, kecurangan akademik yang dimaksudkan termasuklah mencuri idea pelajar dan mengakui hasil kerja tersebut sebagai idea sendiri atau meletakkan nama selaku penulis utama dalam mana-mana artikel yang hendak diterbitkan.

Kata beliau, ada juga situasi ahli akademik memaksa pelajar menulis jurnal atau penerbitan dan melakukan ugutan untuk tidak menandatangani borang penyerahan tesis sekiranya pelajar enggan melakukannya.

“Isu plagiarisme dalam kalangan ahli akademik ini tidak boleh diterima sama sekali. Mereka (ahli akademik) tidak boleh meletakkan nama dalam penulisan tersebut sekiranya tidak menyumbangkan sebarang idea.

“Ia kesalahan yang serius dan sangat tidak beretika dan sesuatu yang memalukan bagi sesebuah universiti yang terkenal sebagai institusi akademik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pada majlis yang dihadiri hampir 200 Alumni Unimap, R. Badlishah turut mengalu-alukan Alumni yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Unimap. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini