PASTINYA setiap wanita ketika menjelang hari perkahwinan akan melakukan pelbagai persiapan agar kelihatan sempurna pada hari bahagianya itu.

Tidak ketinggalan dalam memastikan dirinya dihias indah bak puteri raja termasuk memakai inai bercorak di jari dan tangan.
Kini, seolah menjadi budaya apabila pengapit dan juga pengiring pengantin turut melukis inai dengan pelbagai corak yang menarik.
Pun begitu, sebelum ini berlaku perbalahan mengenai hukum kaum wanita memakai inai menyebabkan juara rancangan Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman menghuraikannya dalam laman sosial Instagram miliknya.
Kata PU Azman, wanita dibolehkan memakai inai bercorak tanpa mengira status dirinya sama ada anak dara, isteri atau janda tetapi dengan beberapa syarat antaranya tidak berniat untuk menunjuk atau menarik perhatian lelaki mahupun berlagak sesama wanita.
“Allah SWT sukakan keindahan dan kecantikan. Kerana Allah itu indah,” katanya.
Jelasnya, secara asasnya, inai bercorak dibenarkan kepada semua jenis wanita tetapi sebahagian ulama menghukum sebagai makruh bagi yang masih bujang kerana dikhuatiri mendatangkan fitnah.
“Ini bermakna, syarat kedua pemakaian inai adalah tidak mendatangkan fitnah seperti bagi mereka yang dalam iddah kerana risiko fitnah yang sangat besar.
“Selain itu seseorang wanita perlu memastikan bahan inai tersebut tidak diperbuat daripada najis, tidak menghalang air, tidak merosakkan kesihatan dan tidak memudaratkan serta tidak melukis corak haram seperti gambar makhluk bernyawa, dewa sembahan bukan Islam,” jelasnya.
*Sumber laman Instagram pu_azman











