KUALA LUMPUR 25 Julai – Kewujudan sebuah kilang kitar semula yang dipercayai beroperasi secara haram di Taman Sri Rampai, Setapak di sini mencetuskan tanda tanya dan rasa tidak puas hati penduduk.
Operasi kilang di atas tanah milik kerajaan itu disyaki didalangi pihak berkepentingan kerana tapak berkenaan sebelum ini dijanjikan untuk pembinaan trek jogging awam.
Dakwa penduduk, tanah milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu diceroboh kira-kira dua tahun lalu oleh syarikat berkenaan selepas kawasan itu yang pada asalnya hutan dan semak-samun itu ditarah menjadi sebuah ‘perkampungan’ kitar semula yang beroperasi secara haram.
Ujar beberapa penduduk yang ditemui Utusan Malaysia, kawasan berkenaan bukan sahaja dijadikan tempat kitar semula malah terdapat sebuah kilang simen, kedai alatan perkakasan (hardware), tempat pembuangan sampah haram dan penempatan jentera berat dalam jarak kira-kira 50 meter dari perumahan berhampiran.

Penduduk memberitahu, pembinaan kilang-kilang haram itu juga mengundang pelbagai masalah antaranya pencemaran, bau, udara dan bunyi kerana kilang simen itu beroperasi sehingga lewat malam dengan lori keluar masuk sehingga mereka tidak dapat tidur nyenyak.
Lebih membimbangkan, lokasi berkenaan dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, tikus, lipas dan kawasan anjing liar berkeliaran.
Tidak tahan dengan keadaan itu, penduduk telah membuat aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan DBKL telah mengambil tindakan meroboh dua premis berkenaan namun mereka kembali beroperasi sehingga hari ini.
Penduduk berkata, isu ini telah mendapat campur tangan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta beberapa pihak lain namun masih tiada tindakan tegas diambil.

Bagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 44, memberitahu, selepas aduan dibuat dan tindakan yang diambil oleh DBKL terhadap premis tersebut, keselamatan penduduk terancam apabila diganggu beberapa individu yang dipercayai ‘menjaga’ kawasan itu.
“Yang menjadi persoalannya, siapa dalang pihak berkuasa yang sanggup membiarkan kilang haram beroperasi di kawasan ini?,’’ ujarnya.
Jelas penduduk, mereka agak kesal apabila pembinaan trek joging yang dijanjikan itu tidak diteruskan seperti dijanjikan kerana kawasan itu mempunyai panorama berlatarbelakang Menara Berkembar Petronas yang pasti menjadi salah satu tarikan pengunjung kelak.
Tapak itu dikelilingi penduduk yang padat kerana terdapat kawasan perumahan teres, elit, rumah program perumahan rakyat (PPR), rumah pangsa DBKL dan kondominium sedang dalam pembinaan serta deretan kedai, bengkel kereta, medan selera dan tasik. – UTUSAN ONLINE











