TAIPING 16 Julai – Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) yang memasuki usia perkhidmatan 62 tahun perlu menambah baik beberapa doktrin sedia ada bagi disesuaikan dengan keperluan semasa Tentera Darat (TD).
Ia melibatkan tiga tred atau kemahiran utama pasukan berkenaan iaitu pengurusan pengangkutan kenderaan jenis B, pentadbir logistik dan cef tentera.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, kesemua ujian berkenaan wajib diikuti anggota KPD mengikut rujukan yang disediakan.
Menurutnya, meskipun pihaknya berpuas hati dengan tahap pencapaian anggota mengikuti ujian kompetensi itu, namun masih banyak ruang perlu diperbaiki.
“Dalam proses membuat penilaian, kita dapati doktrin sedia ada juga perlu dikemas kini mengikut keperluan semasa sepertimana dikehendaki TD.
“Ini kerana khidmat KPD dikehendaki di dua zon operasi kita termasuk Sabah dan Sarawak. Justeru, kita akan melihat sejauhmana kompetensi mereka mampu memenuhi keperluan arahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Ujian Kompetensi KPD di Pusat Latihan KPD (Pulmat) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi KPD, Mejar Jeneral Datuk Hasim Jabar dan Pemangku Pengarah KPD, Leftenan Kolonel Mohamad Ismail Kamarudin.
Ujian Kompetensi KPD dilaksanakan secara berpusat melibatkan penilaian kemahiran seperti pengangkutan, hantaran udara, bomba, pemeriksa stok serta memasak dan seni kulinari.
Ia bertujuan menguji keupayaan dan menilai kemahiran anggota KPD bagi semua tred dalam kor berkenaan.
Ujian kompetensi kali ini membabitkan lapan pegawai dan 227 anggota lain-lain pangkat. – UTUSAN ONLINE











