KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa gembira atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara di sini esok pagi.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 40, berkata, selain perasaan gembira dan teruja, beliau turut berasa bangga kerana kini berada di bawah lindungan takhta Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai seorang anak kelahiran Pahang, saya berasa sangat gembira dengan pertabalan Tuanku.
“Baginda dan permaisurinya, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga cukup terkenal dengan sifat mesra rakyat. Sudah tentu saya bangga dengan pertabalan ini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini sebentar tadi.
Istiadat pertabalan tersebut menandakan permulaan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Terdahulu, pelantun lagu Kasihku Selamanya itu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena hari keputeraan Sultan Ahmad Shah yang ke-76 pada 24 Oktober 2006 yang membawa gelaran Datuk pada 24 Oktober 2006.
Kemudian, pada 24 Oktober 2017, Siti dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri. – K! ONLINE











