PUTRAJAYA 13 Julai – Pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua tahun ini mapan dipacu peningkatan pengeluaran perindustrian tempatan yang kukuh pada Mei lalu serta pertumbuhan eksport dan permintaan domestik berterusan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertumbuhan pengeluaran perindustrian mengatasi jangkaan pasaran untuk kali ketiga berturut-turut dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Mei meningkat empat peratus berbanding bulan sama, tahun lalu.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini katanya, IPP berkembang sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.
“Pada 3 Julai lalu pula, S&P Global Ratings’ (Standard and Poor’s) telah mengesahkan semula penarafan kredit Malaysia pada A- dengan jangkaan stabil.
“Ini berbeza dengan trend pengeluaran perindustrian di ekonomi (negara) ASEAN lain yang sedang menguncup pada bulan yang sama.
“Di Filipina, Singapura dan Thailand, pengeluaran perindustrian mereka masing-masing jatuh 2.1 peratus, 2.4 peratus dan empat peratus tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng berkata, ekonomi Singapura bagi suku kedua tahun ini hanya berkembang 0.1 peratus tahun ke tahun dan ia bersamaan dengan penguncupan 3.4 peratus suku ke suku.
Katanya, ahli ekonomi HSBC, Joseph Incalcaterra menyatakan perangkaan terbaharu dari Singapura merupakan penunjuk awal kelembapan pertumbuhan ekonomi di rantau ini akibat perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlanjutan.
Justeru sebagai persediaan untuk 2020, Guan Eng berkata, Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, terikat dalam rantaian pembekalan global.
“Kerajaan sedar akan risiko yang ditanggung berpunca daripada kelembapan ekonomi dunia, terutama apabila beberapa rakan dagang utama Malaysia mengalami pertumbuhan perlahan.
“Kerajaan akan mengambil kira segala senario dan risiko berkaitan dengan perang perdagangan dalam menyediakan Belanjawan 2020,” katanya.
Dalam pada itu Guan Eng berkata, kerajaan sedang menjalankan usaha mesra perniagaan untuk mendapatkan manfaat daripada perubahan rantaian pembekalan global, di samping meneruskan usaha pembaharuan institusi. – UTUSAN ONLINE.











