Istiadat pertabalan merupakan istiadat tradisi yang diwarisi daripada kesultanan Melayu. Istiadat ini berlangsung bagi menzahirkan daulat dan kedaulatan seorang raja.
Istiadat penuh tertib upacaranya ini bersifat halus dalam maksud setiap gerak protokolnya. Semua gerak langkahnya berasaskan kepada ciri dan nilai tradisi kesultanan Melayu dengan ubahsuaian tertentu bagi menyesuaikannya dengan peranan dan kedudukan institusi beraja pada masa kini.
Walaupun takhta Yang di-Pertuan Agong dimasyhurkan bagi tujuan sebuah negara Persekutuan, istiadat pertabalan berlangsung seumpama istiadat warisan yang diamalkan di negeri-negeri.

Maka, protokol istiadat ini merangkum semua perkara berkaitan peranan sultan atau raja di negeri.
Ini termasuklah kedudukan baginda sebagai Kepala Utama Negara (Supreme Head of the Federation), Ketua Agama Islam, lambang maruah dan kedaulatan negara, bertanggungjawab berkenaan keselamatan negara serta citra perpaduan kepada semua dimensi kepelbagaian dalam negara kita, sama ada perpaduan kaum atau perpaduan dalam bentuk gabungan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan.
Dalam konteks raja berperlembagaan di negara kita, keabsahan atau keesahan pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong adalah melalui istiadat melafazkan sumpah takhta baginda.
Setelah baginda mengangkat sumpah sebagaimana kehendak peruntukan Perlembagaan, iaitu Perkara 37 dan Jadual Keempat, maka adalah sah baginda menjadi Kepala Utama Negara sebagaimana dimasyhurkan oleh Perkara 32.
Walaupun kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara dengan secara rasmi sudah memadai dengan berlangsungnya istiadat mengangkat sumpah, istiadat pertabalan adalah penting bagi melengkapkan istiadat mengangkat daulat dan kedaulatan raja menurut warisan Kesultanan Melayu.
Daulat raja adalah konsep tradisi kesultanan Melayu untuk berdirinya diri seorang raja. Konsep kedaulatan pula merujuk kepada kuasa yang dimiliki baginda dalam urusan pelaksanaan peranan baginda berkaitan pemerintahan atau pentabiran negara.
Konsep daulat tidak dapat dinyatakan secara harfiah perundangan. Ia bersifat identiti yang hidup bersama diri raja itu sendiri. Ia bersemi dalam kepercayaan dan amalan warisan kesultanan Melayu. Di mana ada raja, maka hendaklah ada daulatnya.
Konsep daulat dalam sistem beraja di Alam Melayu sering digandingkan dengan konsep derhaka dan tulah.
Namun kita mempunyai peruntukan undang-undang tentang kedaulatan raja-raja, yang mana kedaulatan Melayu dan Pembesar-Pembesar Negeri Sembilan dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 181(1) menyatakan, “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.”
Dalam konteks Yang di-Pertuan Agong, takhta ini dimasyhurkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan perkenan dan muafakat semua raja bagi sembilan buah negeri sempena penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Ia adalah berikutan muafakat raja-raja yang memberi perkenan pembentukan Persekutuan.
Cadangan mewujudkan institusi raja pada peringkat Persekutuan pertama kali dikemukakan oleh raja-raja apabila wakil British berkunjung menghadap baginda seusai Pilihan Raya Pertama sebelum Merdeka pada tahun 1955.
Ini berikutan kebimbangan baginda semua tentang sifat negara Persekutuan yang baharu dibentuk. Persetujuan raja-raja bagi pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah bersyarat supaya negara Persekutuan menjamin kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Pada pertemuan tersebut raja-raja telah memberi perkenan untuk penganjuran sebuah persidangan perlembagaan bagi membincangkan urusan kemerdekaan Tanah Melayu.
Penganjuran persidangan perlembagaan adalah proses yang lazim dianjurkan oleh British bagi memperincikan prosedur kemerdekaan bagi mana-mana negara di bawah koloni atau naungannya.
Antara lain, tujuan persidangan tersebut ialah untuk melantik Suruhanjaya Perlembagaan bagi mencadangkan draf Perlembagaan bagi negara yang akan merdeka.
Berkaitan itu, semasa majlis tersebut, raja-raja telah mencadangkan terma-terma rujukan bagi Suruhanjaya Perlembagaan bagi Tanah Melayu yang akan dicadangkan penubuhannya semasa Persidangan Perlembagaan yang akan dianjurkan nanti.
Antara lain, cadangan raja-raja adalah untuk Suruhanjaya tersebut memasukkan peruntukan berkenaan “A Constitutional Yang di-Pertuan Besar (Head of State) for the Federation to be chosen from among Their Highnesses the Rulers.”
Nama yang dicadangkan sebagai ‘Yang di-Pertuan Besar’ kemudiannya telah ditukar kepada ‘Yang di-Pertuan Agong’.
Penubuhan Suruhanjaya Perlembagaan telah diperkenan oleh Baginda Ratu dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu semasa Persidangan Perlembagaan di London pada Januari hingga Februari 1956.
Suruhanjaya itu kemudiannya popular dengan nama Suruhanjaya Reid sempena nama pengerusinya, Lord Reid.
Semasa proses gubalan Perlembagaan tiada apa-apa persoalan ditimbulkan berkaitan takhta Yang di-Pertuan Agong. Kewujudan takhta tersebut diterima sebulat suara. Seiring dengan pemasyhuran takhta Yang di-Pertuan Agong, dimasyhurkan juga institusi Majlis Raja-Raja.
Baginda raja-raja tidak berpuas hati tentang peruntukan berkaitan peranan Majlis Raja-Raja dalam draf awal Perlembagaan Persekutuan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid.
Dengan penubuhan Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji draf tersebut, baginda raja-raja membuat beberapa representasi baginda raja-raja telah mengemukakan cadangan berkenaan peranan Majlis Raja-Raja.
Setelah berlangsung beberapa siri perbincangan yang adakalanya tegang, maka kedudukan dan peranan Majlis Raja-Raja telah diangkat sebagaimana ada ketika ini dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.
Antara tanggungjawab Majlis Raja-Raja ialah memilih raja yang sesuai untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Syarat-syarat layak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong dinyatakan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Pesekutuan.
Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa budi bicara untuk memilih Yang di-Pertuan Agong atau menentukan kedudukan baginda di atas takhta.
Pada Perkara 38(6)(a) Perlembagaan Persekutuan, dinyatakan bahawa kuasa budi bicara Majlis Raja-Raja termasuklah “the election or removal from office of the Yang di-Pertuan Agong…”. Ini menjadikan hubungan antara Majlis Raja-Raja dan takhta Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipisah-pisahkan.
Sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda mempunyai amanah yang besar untuk digalas. Baginda adalah Supreme Head of the Federation. Pada takhta baginda terletak amanah untuk menjamin kedaulatan dan keselamatan negara sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera dan pengisytiharan darurat.
Pada takhta baginda terletak hak kuasa eksekutif yang menjadi kuasa utama dalam pentadbiran negara. Pada takhta baginda juga terletaknya puncak keadilan sebagai memiliki kuasa pengampunan dan lantikan hakim-hakim pada peringkat tertinggi.
Shamrahayu A. Aziz
Pensyarah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia











