SEPANG – Tindakan seorang penganggur menyamar sebagai Menteri Besar Selangor dengan niat mendapatkan geran tanah milik kerajaan negeri memakan diri apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Akhiruddin@Boy Acho menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Mohd. Khushairi, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia membayar denda berkenaan.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata,
pihaknya berjaya menangkap suspek pada 9 Julai lalu selain turut merampas sebuah telefon bimbit jenama iPhone dan sekeping kad sim.
Menurutnya, pengadu yang merupakan Pegawai Daerah Sepang sebelum itu telah menerima satu panggilan telefon pada pukul 10.05 malam, 16 Jun lalu oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor.
“Suspek membangkitkan satu kes pemilikan tanah kerajaan negeri dan dia mendakwa telah diminta menyelesaikan isu tersebut serta menggesa geran dikeluarkan segera agar projek pembangunan dapat dilaksanakan.
“Pegawai itu mengesyaki panggilan tersebut bukan suara Menteri Besar sebelum membuat semakan dan mendapati pemimpin terbabit ketika itu berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, pegawai daerah itu mengesyaki pemanggil menyamar kerana menggunakan identiti dan nombor telefon Menteri Besar sebelum bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
“Pengadu turut beritahu suspek memberikannya satu nombor telefon lain untuk memudahkan berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp.
“Susulan itu, pada 9 Julai lalu, pihak polis berjaya menahan suspek dan turut merampas sebuah telefon bimbit jenama iPhone dan sekeping kad sim,” katanya. – K! ONLINE











