KUALA LUMPUR 20 Julai – Mayat lelaki yang ditemui di dalam bagasi di tebing sungai di Kampung Pangkalan, Bau, mungkin mayat seorang pemilik sebuah kedai menjahit pakaian terkemuka di pusat bandar raya Kuching, Sarawak.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, ia susulan penyebaran berita mengenai kehilangan mangsa melalui media sosial yang mana ahli keluarga mangsa memohon orang ramai untuk mengesan mangsa selepas tidak pulang dan gagal dihubungi sejak beberapa hari lepas.
Selain itu, kelihatan juga beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tujuan pengecaman sebaik sahaja mayat mangsa tersebut tiba lewat malam tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai semasa dihubungi Utusan Borneo mengesahkan seorang lelaki ditangkap untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki ditutup mata dan diikat tangan serta kaki menggunakan pita pelekat ditemui di dalam bagasi di tebing sungai di Kampung Pangkalan Bau, Sarawak, semalam.
Bagasi tersebut dijumpai orang awam yang curiga selepas terhidu bau busuk dan terus menghubungi pihak polis. – UTUSAN ONLINE











