Masih ada ruang pulih ekonomi negara - Utusan Malaysia

Masih ada ruang pulih ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – Masih ada ruang untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memulihkan ekonomi negara iaitu dengan memberi keutamaan kepada menangani masalah belanjawan defisit dan hutang langsung kerajaan Persekutuan yang masih meningkat setiap tahun.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bagi menangani dua perkara ini, ia memerlukan tempoh masa yang lama iaitu beberapa tahun kerana sebahagian besar hutang kerajaan adalah bersifat jangka masa panjang.

Bagaimanapun, katanya, ekonomi Malaysia pada masa ini masih berdaya saing kerana mencatatkan pertumbuhan positif dalam akaun semasa dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNK) setiap tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan masih dapat meyakinkan pelabur dan memulihkan ekonomi dengan terus komited untuk mengurangkan komitmen hutang kerajaan persekutuan di samping meneroka peluang pendapatan baharu.

“Di samping itu, penjimatan perbelanjaan pembangunan dan pengurusan harus dilakukan dengan berhemah,” katanya kepada Utusan Online.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa usaha kerajaan PH untuk memulihkan pentadbiran dan ekonomi negara berjalan dengan perlahan kerana wujud cubaan melemahkan parti pemerintah.

Dr. Mahathir berkata, PH mengambil alih pentadbiran yang mempunyai masalah kewangan besar disebabkan oleh pinjaman berlebihan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Tambah Ahmed Razman, faktor ekonomi dunia juga menjadi faktor utama kepada ekonomi negara ini sukar untuk pulih kerana Malaysia merupakan negara pengeksport bersih iaitu lebih banyak mengeksport daripada mengimport.

Sehubungan itu, katanya, jika berlaku krisis kewangan global, ini akan mengurangkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dari negara ini sekaligus menjejaskan ekonomi negara.

“Selain memastikan hutang negara dikawal dan pendapatan baharu dikenalpasti, kerajaan juga harus mereformasi sistem monetari sedia ada supaya negara tidak lagi mengamalkan ekonomi berasaskan hutang dan juga mewujudkan perbankan awam serta matawang bersandarkan komoditi,” ujarnya.

Ahmed Razman turut menegaskan bahawa kestabilan politik memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan ekonomi kerana jika politik negara stabil, masa dan tenaga boleh difokuskan sepenuhnya untuk membangunkan ekonomi.

“Jika pemimpin sibuk bercakaran dan cuba menjatuhkan sesama sendiri, ekonomi negara akan mengambil masa yang lama untuk pulih,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini