KUANTAN – Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan operasinya secara rasmi di kompleks baharu di Kem Sungai Panching di sini.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, Sungai Panching dipilih sebagai lokasi bagi pembangunan Kompleks MAB kerana kedudukannya yang strategik.
“Kompleks ini juga berhampiran pangkalan utama sama ada melalui udara dan laut serta akses jalan darat yang menghubungkan kem-kem Tentera Darat, pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kompleks baharu ini membuktikan kita memiliki kapasiti dalam melaksanakan latihan secara In-Situ dengan prasarana dan fasiliti yang mencukupi serta canggih,” katanya ketika berucap pada Upacara Perbarisan Pengoperasian MAB Kem Sungai Panching di sini hari ini.
Yang hadir sama Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Reza Mohd. Sany, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki.
Perbarisan itu terdiri daripada 50 pegawai dan 113 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang bertugas di MAB diketuai oleh Pengarah J3 Operasi Globalnya, Kolonel Norazman Taib.
Zulkifli berkata, kawasan baharu di Sungai Panching yang berkeluasan 39 hektar itu menempatkan pusat pentadbiran markas yang kondusif, pusat operasi dan pusat peperangan bersama yang canggih serta bangunan luas yang mampu menampung ramai peserta eksesais dalam satu masa.
“Pengoperasian MAB yang baharu ini juga mencatatkan sejarah dalam perkhidmatan ATM sebagai salah satu markas di Asia Tenggara yang mempunyai kompleks dan pentadbiran tersendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











