ALOR SETAR – Kerjasama Pas dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diyakini mampu merampas kembali Kedah daripada Pakatan Harapan (PH).
Keyakinan itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang turut percaya bahawa kerjasama itu mampu merampas kembali Putrajaya dalam pilihan raya tersebut.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, jika diambil kira undi Pas dan UMNO dalam pilihan raya umum lalu, sekurang-kurangnya mereka mampu menang di 32 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 12 Parlimen dalam PRU-15.
“Kita kerjasama dengan penuh ikhlas, menjadikan Islam sebagai panduan bukan sahaja Kedah, malah Putrajaya juga kita (Pas UMNO) mampu tawan dalam PRU-15.
“Pada pilihan raya unum lalu, kita bertanding tiga penjuru. Jika campur antara undi Pas dan UMNO, kita boleh mengatasi PH dengan 32 kerusi DUN dan lebih 12 kerusi Parlimen,” katanya di sini hari ini.
Dalam PRU-14, PH Kedah menang dengan 18 kerusi DUN, Pas mendapat 15 kerusi dan tiga kerusi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) daripada keseluruhan 36 kerusi.
Selepas itu, PH menambah satu lagi kerusi DUN menjadikan 19 kerusi, susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak daripada BN, Datuk Dr Ku Abd. Rahman Ku Ismail mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Manakala bagi kerusi Parlimen, PH menguasai 10 kerusi, Pas (tiga) dan BN (dua) daripada keseluruhan 15 kerusi Parlimen di Kedah.
Kedah merupakan negeri yang silih berganti kerajaannya dengan Pas pernah menguasai negeri itu pada PRU-12 sebelum BN kembali merampas negeri itu pada PRU-13 dan kini PH.- UTUSAN ONLINE











