BARU-BARU ini timbul lagi isu kriteria pengambilan pekerja yang hanya fasih berbahasa Mandarin. Ini bukan isu baharu bahkan sudah lama diperdebat.
Rata-rata yang tidak berpuas hati beranggapan syarat kelayakan itu bertujuan membolehkan pihak majikan memilih kelompok pekerja yang majoritinya berbangsa Cina.
Memandangkan kefasihan berbahasa Mandarin lazimnya terkait dengan latar pendidikan vernakular, ramai berpendapat kriteria sebegini adalah simptom kepada sistem pendidikan negara yang tidak seragam.
Ini ditambah lagi dengan persepsi sistem vernakular yang ada, selesa didominasi satu kaum dan tidak mesra penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Penulis berpendapat sistem pendidikan dan pendekatan majikan dalam carian pekerja bersesuaian merupakan dua isu berbeza, walaupun ada sedikit sebanyak kaitannya.
Akan tetapi, kaitan ini tidak terpaut jika dilihat dari satu lensa yang secara terangan memangsa sistem vernakular sebagai kambing hitam.
Asasnya, kerisauan yang dibangkitkan tertumpu kepada relevansi sistem vernakular kepada sebuah masyarakat majmuk yang seharusnya mendukung satu identiti nasional.
Perkara ini lantas mendorong kepada perbincangan lebih mendalam – wajarkah pengertian identiti nasional itu diorientasikan mengikut pemikiran dan gaya hidup Melayu-Muslim sahaja?
Lebih penting lagi, benarkah andaian ramai bahawa kepelbagaian sistem pendidikan kita, terutamanya sistem vernakular, telah secara halus menyukarkan asimilasi antara kaum di negara ini?
Persoalan besar
Persoalan-persoalan sebegini mudah mengundang buah fikiran berbeza haluan. Namun begitu, perbincangan masih boleh bersifat objektif jika diorientasikan dengan kerisauan yang lazimnya dikaitkan dengan sistem vernakular, iaitu:
1) keseimbangan komposisi kaum, 2) penggunaan bahasa Melayu, 3) perbandingan kualiti pendidikan, 4) keserasian hubungan kaum.
Jika keseimbangan kaum yang dirisaukan, statistik menunjukkan komposisi peratusan bukan Melayu semakin menurun (hanya 6%) di sekolah-sekolah kebangsaan, berbanding dengan peningkatan pelajar bukan Cina (18%, peningkatan daripada 16%) di sekolah jenis kebangsaan Cina.
Perangkaan ini jelas menunjukkan polarisasi kaum itu jauh lebih jelas di sekolah kebangsaan. Umum tahu pendaftaran ke sekolah-sekolah vernakular tidak memerlukan seseorang pelajar untuk berbangsa India atau Cina. Bahkan, terdapat banyak sekolah (dan institusi pendidikan) mensyarat pelajar beragama Islam atau bertaraf Bumiputera.
Walaupun kebiasaannya golongan bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu sefasih penutur asli, semestinya jumlah dan peratusan rakyat Malaysia yang kini boleh berbahasa Melayu adalah lebih tinggi daripada awal pengenalan Laporan Razak pada 50-an.
Bukan itu sahaja, kepelbagaian sistem pendidikan kita banyak membantu dalam mewujudkan generasi baru yang kini mahir bertutur sekurang-kurangnya tiga bahasa – termasuklah pelajar Melayu yang mendapat manfaat pembelajaran di sekolah vernakular.
Terdapat juga kritikan bahawa sistem vernakular hanya mendedahkan pelajar kepada idealogi dan cara pemikiran dari negara China dan India. Desas-desus palsu sebeginilah yang selalu menimbulkan kecelaruan masyarakat Melayu.
Hakikatnya, silibus yang terpakai adalah sama seperti yang dipelajari di sekolah kebangsaan, selain daripada mata pelajaran bahasa tambahan dan pilihan perantaraan sekolah tersebut, baik Mandarin, Tamil atau Bahasa Inggeris.
Perihal sijil pelajaran Unified Examination Certificate (UEC) juga tidak ada kena mengena dengan sistem vernakular memandangkan sistem pendidikan berlandaskan UEC hanya digunapakai oleh 60 sekolah persendirian Cina yang tidak menerima apa-apa bantuan kerajaan.
Penulis berpendapat bahawa pemilihan pelajar untuk mengambil UEC (dan bukannya SPM atau STPM) adalah hak dan keputusan masing-masing, dan tidak ada bezanya daripada mereka yang memilih untuk menduduki IGCSE atau International Baccalaureate di salah satu daripada 165 sekolah antarabangsa di Malaysia.
Boleh ditambahbaik
Walaupun bilangan kaum bukan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina itu secara puratanya 1 daripada 5 pelajar, bilangan ini turut melibat kaum India dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Pengiraan setinggi itu mungkin terhad di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Realitinya, masih ramai ibu bapa berbangsa Melayu belum terbuka untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah vernakular.
Atas sebab itu, pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah vernakular kurang mendapat pendedahan kepada interaksi bersama penutur asli dan lantas membantutkan kefasihan mereka berbahasa Melayu.
Isu ini jelas berbeza daripada persepsi ramai bahawa ketidakfasihan ini berpunca daripada ketidakmahuan kaum bukan Melayu menambahbaik kelancaran berbahasa Melayu.
Permasalahan ini konsisten dengan pergelutan rata-rata pelajar dalam penguasaan Bahasa Inggeris walaupun setelah mendapat didikan Bahasa Inggeris lebih daripada satu dekad lamanya.
Penulis berpendapat bahawa masalah ketidakfasihan bahasa kedua ini adalah lebih simptomatik kepada pedagogi pengajaran yang tidak efektif dan memerlukan kajian lebih mendalam.
Peranan kerajaan sebagai pencetus perubahan
Keserasian hubungan antara kaum itu adalah satu isu yang lebih kompleks, dan tidak semestinya hanya melibatkan faktor kaum semata-mata.
Namun, perasaan curiga dan punitif terhadap kaum-kaum lain boleh dielak sekiranya komposisi kaum di sekolah-sekolah dapat diseimbangkan mengikut nisbah sesuai dengan demografi sesuatu tempat.
Nisbah tersebut boleh dijadikan indikator untuk pihak kerajaan memberi insentif tambahan kepada sekolah-sekolah yang berjaya mencapai sasaran nisbah kaum tertentu.
Insentif berlandaskan KPI bukan perkara baru dan sudah banyak diimplementasi dalam penilaian akademik, sukan dan aktiviti ko-kurikulum tertentu.
Dengan cara ini, sekurang-kurangnya sekolah-sekolah vernakular, terutamanya di kawasan bermasyarakat majmuk, akan lebih terdorong untuk menarik pelajar yang berlainan kaum, selain daripada menggalakkan sekolah-sekolah kebangsaan untuk menjadi lebih kreatif dan dinamik dalam memahami kehendak pendidikan kaum bukan Melayu-Islam.
Penulis berpendapat bahawa insentif sebegini turut wajar diperluas kepada sekolah berasrama penuh (69 sekolah, lebih 9,000 pelajar) dan sekolah agama persekutuan (280 sekolah, lebih 124,000 pelajar) agar pelajar-pelajar yang majoritinya Melayu lebih terdedah dengan interaksi dan daya saing antara kaum.
Sama ada respons daripada kaum bukan Melayu-Islam adalah positif atau tidak akan bergantung kepada prestasi, kualiti dan nilai tambah yang ada pada setiap sekolah itu sendiri.
Selain itu, pihak kerajaan perlu menilai semula pedagogi dan isi pemahaman perbezaan budaya dan agama agar seiring dengan perkembangan teknologi dan cara pemikiran generasi baharu. Sudah sampai masanya untuk pelajar-pelajar kita beralih daripada pembelajaran menerusi buku dalam usaha memahami masyarakat setempat.
Untuk ini, penulis bersetuju dengan idea yang dibawa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Forum Bahasa Jiwa Bangsa baru-baru ini untuk sekolah-sekolah berlainan latar belakang (seperti antara sekolah vernakular dan sekolah agama) mewujudkan kolaborasi dan program pertukaran agar pelajar-pelajar dapat saling berinteraksi dan faham memahami menerusi aktiviti bersama.
KEPELBAGAIAN SISTEM MENGUNTUNGKAN SEMUA
Pangkalnya, ketidakrapian yang ada dalam sistem pendidikan kita boleh diperbaiki untuk menjamin hubungan antara kaum yang lebih toleran dan empati.
Dalam masa yang sama, pihak kerajaan disarankan untuk terus memperkasa dan memperluas pengenalan subjek bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan agar lebih ramai kaum bukan Melayu (berbanding hanya 6% sekarang) tertarik dengan inklusifiti yang dipraktikkan.
Penulis optimis bahawa dengan adanya dorongan dan usaha bersama pihak kerajaan, sekolah-sekolah yang dahulunya didominasi satu kaum akan lebih terbuka untuk memenuhi objektif perpaduan bersama.
Bangsa dan agama tidak seharusnya dijadikan syarat kemasukan ke mana-mana sekolah, dan inilah masanya untuk kita meraikan pluralisme medan-medan ilmu agar kelebihan sesuatu sistem itu tidak lagi hanya eksklusif untuk sesetengah segmen masyarakat.
Dengan adanya penyeimbangan yang organik dan berinsentif sebegini, penulis yakin bahawa kita akan dapat mengenalkan semula dinamisme dalam pengertian identiti sebagai rakyat Malaysia.
PENULIS ialah Peguambela & Peguamcara dan merupakan sarjana Fulbright ke Amerika Syarikat.











