SHAH ALAM 30 Julai – Suhu politik Selangor khususnya melibatkan Menteri Besar, Amirudin Shari, nampaknya semakin panas selepas beliau yang diketahui penyokong kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membalas sinis ‘serangan’ pihak tertentu di Twitternya hari ini.
Tanpa menyebut kepada siapa kenyataan itu ditujukan, Amirudin memuat naik peribahasa “bagai anjing mengunyah tulang” dengan memberi peringatan agar jangan ada sesiapa mengikuti perangai tersebut dan disertakan sekali tanda pagar #KilasSemula.
Soalnya kepada siapa kenyataan sedemikian mahu ditujukan dan jika dirujuk Kamus Dewan, peribahasa anjing menguyah tulang membawa maksud orang yang suka merungut-rungut, manakala #KilasSemula itu dapat difahami bahawa Amirudin sedia berdepan sesiapa sahaja.
“#KilasSemula – sebelum tunaikan haji 2016, saya sering diingatkan agar bersabar dan redha, janganlah kita berperangai ibarat pribahasa melayu – bagai anjing mengunyah tulang,” ciapnya Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu sebagaimana dipetik.
Semalam, Amirudin secara terbuka menegaskan tiada keperluan untuk memperbaharui sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepertimana dilakukan PKR negeri lain memandangkan jawatan itu tidak pernah dicabar.
Kewajaran pendirian tersebut jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu adalah kerana Selangor menyokong penuh pucuk pimpinan parti termasuklah kedudukan Mohamed selaku Timbalan Presiden PKR.
Amirudin juga tampil menjelaskan semalam bahawa beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) PKR yang diadakan pada Ahad lalu, sehingga dipersoalkan beberapa pihak dalam parti berkenaan adalah disebabkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Selain Amirudin; Mohamed Azmin; Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta Ketua Wanita PKR, Haniza Talha juga tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan. – UTUSAN ONLINE











