KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara Menteri Industri Utama, Teresa Kok terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, November tahun lalu akhirnya selesai.
Penyelesaian itu dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes saman itu secara baik yang kemudian persetujuan itu direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail dalam kamar di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
Peguam S.N. Nair yang mewakili Teresa selaku plaintif ketika ditemui selepas prosiding berkata kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan defendan (Azwanddin) perlu mengemukakan permohonan yang diterbitkan di tiga surat khabar harian iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily.
“Azwanddin bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf selain bersetuju dengan terma-terma yang tidak didedahkan kepada umum. Kami tidak boleh mendedahkan terma perjanjian bagaimanapun defendan bersetuju untuk menarik balik semua kenyataan dan hantaran yang dibuat dalam Facebook,” katanya.
Dalam prosiding itu Azwanddin hadir diwakili peguam Sarah Abishegam.
Sementara itu Teresa dalam satu kenyataannya pula berkata, beliau gembira kes saman itu dapat diselesaikan secara baik selepas Azwanddin bersetuju membuat permohonan maaf sepenuhnya termasuk bersetuju menarik balik kenyataan yang dibuatnya.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Teresa yang memfailkan saman pada 8 Januari lalu mendakwa defendan ada mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap di sebuah perhimpunan di Dataran Seni, Klang, Selangor pada 25 Disember lalu.
Menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, perkataan fitnah itu kemudian disiarkan di media massa serta portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today dan defendan turut memuat naik video ucapan tersebut di laman sosial miliknya.
Dakwa plaintif ucapan dan kenyataan defendan itu, bersifat fitnah secara lisan atau bertulis yang jika difahami membawa maksud beliau seorang yang bersikap perkauman, menyalahgunakan jawatan sebagai menteri dan mengamalkan rasuah.
Selain itu, plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah berkenaan mengambarkan seolah-olah plaintif tidak jujur, penipu, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan individu yang terbabit dengan pertuduhan jenayah.
Kata plaintif lagi, dakwaan yang dikemukakan oleh defendan adalah tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat.
Beliau berkata, kenyataan itu memberi kesan buruk kepada reputasinya sebagai Menteri Kabinet, ahli parlimen, pemimpin parti sama ada di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah serta perintah injuksi bagi menghalang defenda daripada terus menerbitkan kenyataan sama. – K! ONLINE











