LONDON – Unai Emery mengambil keputusan untuk menghantar Mesut Ozil dan Sead Kolasinac pulang ke rumah selepas memutuskan kedua-dua pemain itu tidak sesuai untuk beraksi di Piala Emirates menentang Lyon.
Dalam aksi itu, The Gunners tewas 1-2 kepada pasukan Perancis itu dengan Moussa Dembele menjaringkan dua gol selepas jaringan Pierre-Emerick Aubameyang.
Kedua-dua pemain itu tidak beraksi selepas hampir menjadi mangsa rompakan di London, tiga hari lalu.
Dalam insiden itu, Kolasinac mengambil tindakan berani cuba menyerang perompak bersenjatakan pisau manakala Ozil melarikan diri ke restoran berhampiran bagi mendapatkan bantuan.
Polis dan Arsenal mengesahkan kedua-dua pemain itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Setiap pemain sangat penting dalam pasukan ini tetapi ada masanya kami perlu memutuskan sama pemain atau pasukan perlu diutamakan.
“Sekarang ini bukan masa sesuai untuk mereka beraksi kerana mereka tidak berada dalam keadaan 100 peratus.
“Mereka berjumpa saya pagi ini dan saya memberitahu mereka untuk berehat bersama keluarga buat beberapa hari. Esok kami akan lihat semula keadaan mereka,” katanya.-AGENSI











