Ekspedisi kaji khazanah Gunung Korbu - Utusan Malaysia

Ekspedisi kaji khazanah Gunung Korbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seramai 135 orang penyelidik menyertai Ekspedisi Saintifik Gunung Korbu bagi mengkaji serta meneroka khazanah alam di kawasan berkenaan.

Gunung Korbu merupakan geotapak dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta yang telah dimahsyurkan sebagai Geopark Kebangsaan pada Oktober tahun lalu oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Ekspedisi selama tujuh hari ini dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak (JMG Perak) yang juga merupakan Pengerusi bagi Jawatankuasa Teknikal Geopark Lembah Kinta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah JMG Perak, Datuk Ir. Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, ekspedisi itu dijalankan bagi menambah nilai kawasan tersebut sebagai susulan daripada pemahsyuran berkenaan.

Menurut beliau, ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat saintifik pelbagai bidang seperti geologi, biologi, kualiti air, kebudayaan dan rekreasi.

“Selain JMG Perak, ekspedisi ini disertai para penyelidik daripada pelbagai agensi kerajaan dan universiti awam mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Hasil dapatan daripada ekspedisi ini nanti akan dibentangkan pada satu seminar yang dirancang tahun hadapan untuk dikongsi kepada umum,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas majlis pelepasan para peserta di Pintu Rimba Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini hari ini.

Terdahulu, para peserta telah dilepaskan oleh Ahmad Zukni bersama Pengarah Perhutanan negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Mengulas lanjut kata Ahmad Zukni, sebelum ini tiada penyelidikan saintifik dibuat bagi mendokumentasikan khazanah alam di Gunung Korbu.

“Gunung Korbu merupakan puncak kedua tertinggi di Semenanjung iaitu kira-kira 2,182 meter dengan jarak perjalanan sejauh 30 kilometer.

“Justeru ekspedisi ini merintis penyelidikan tersebut kerana sememangnya kita tahu kawasan ini kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna,” ujarnya.

Pihak JMG Perak juga akan menerbitkan sebuah buku khas bagi memuatkan hasil-hasil penyelidikan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini