MENJELANG sambutan Aidiladha tidak lama lagi, antara ibadah tumpuan bagi umat Islam yang berkemampuan adalah menunaikan ibadah korban.
Walaupun dilaksanakan setiap tahun, namun ramai yang kurang menyedari apakah kriteria untuk menyempurnakan ibadah tersebut sebaik mungkin.
Berikut empat ciri-ciri ibadah korban terbaik digariskan dalam Islam:
1. Memilih haiwan korban sendiri
– Bagi golongan yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban dengan seekor haiwan yang sempurna, maka digalakkan untuk memilih haiwan korbannya itu sendiri. Antaranya ialah haiwan korban yang paling banyak dagingnya.
2. Menyembelih sendiri haiwan korbannya
– Bagi peserta lelaki disunatkan untuk menyembelih sendiri haiwan korbannya, jika berkemampuan (iaitu berkemahiran untuk menyembelih).
Hal ini berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibash berwarna putih yang bertanduk (sebagai korban) dengan tangannya sendiri, sambil baginda menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibash tersebut” – Riwayat Bukhari dan Muslim
3. Menyaksikan sembelihan korban
– Bagi peserta yang tidak mampu untuk menyembelih sendiri (khususnya kaum wanita), disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan acara sembelihan korban, setelah dia mewakilkan sembelihan tersebut kepada tukang sembelih.
Hal ini berdasarkan hadis di mana Nabi SAW memerintahkan kepada anak perempuannya, Saiyidatina Fatimah R. Anha dengan bersabda maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan haiwan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu terdahulu.” – Riwayat Hakim
4. Mengagihkan sendiri daging korban
Kemeriahan suasana acara sembelihan korban yang disusuli pula dengan pengagihan daging korban kepada penduduk setempat, malah peserta korban itu juga digalakkan untuk mengagihkan sendiri daging-daging korbannya kepada ahli qariah.











