Bayi bersama nota ditemukan di depan rumah - Utusan Malaysia

Bayi bersama nota ditemukan di depan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki ditinggalkan di hadapan sebuah rumah bersama sekeping nota dipercayai ditulis ibunya dalam kejadian di Kampung Pompod, Kota Belud, Sabah semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd. Zaidi Abdullah berkata, bayi terbabit ditemukan penghuni rumah berusia 33 tahun kira-kira pukul 5.30 pagi.

Menurut Mohd. Zaidi, wanita itu kemudian datang ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dengan membawa bayi yang hanya berbalut kain itu bersama nota berkenaan kira-kira pukul 8.57 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengadu mendakwa dia dan ibunya terdengar tangisan bayi sebelum keluar untuk memeriksa keadaan di luar rumah dan menemukan bayi bersama nota tersebut.

“Nota itu meminta wanita terbabit menjaga bayi berkenaan dan menyatakan tarikh lahirnya ialah 29 Jun 2019, namun tiada nama ibu kandung bayi disertakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, setakat ini, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badannya.

“Pengadu mendakwa tidak mengetahui mana-mana saudara terdekat atau penduduk kampung yang baru melahirkan bayi.

“Susulan itu, polis akan menghantar pengadu dan bayi berkenaan ke Hospital Kota Belud bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti hubungan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang ada maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini