SHAH ALAM – Tindakan seorang pekerja bazar malam mencuri durian Musang King di sebuah pasar raya sebulan lalu memakan diri selepas dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Rini Triany Muhamad Ali menjatuhkan hukuman itu selepas Luqman Hakim Yusof, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Difahamkan tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mencuri lima peket durian Musang King bernilai RM400 di sebuah pasar raya, Seksyen 13 di sini pukul 6 petang pada 1 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Peguam Salahuddin Salam mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal terhadap perbuatan tersebut. – K! ONLINE











