ISKANDAR PUTERI – Kira-kira 10 peratus umat Islam di Johor yang berusia antara 40 hingga 50 tahun ke atas mengamalkan fahaman liberalisme, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi.
Menurut rata-rata mereka terdiri daripada golongan intelektual, hasil siasatan pasukan khas menangani fahaman itu yang ditubuhkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal tahun ini.
Beliau berkata, biarpun fahaman liberalisme di negeri ini masih terkawal, namun kerajaan negeri tetap memandang serius perkara tersebut.
“Mengikut pemerhatian pihak kami, kira-kira 10 peratus umat Islam di Johor yang mengamalkan fahaman liberalisme,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Tosrin (PH-Bukit Permai) berkata, bagi membendung penularan fahaman itu, kerajaan negeri akan mempertingkatkan usaha termasuk mempergiatkan risikan dan pemantauan.
Pada masa sama, usaha kerajaan negeri dalam mempertahankan akidah rakyat Johor turut dilakukan dengan menjalankan pemantauan berterusan di laman sosial seperti Instagram, Facebook (FB), WhatsApp dan Skype.
“Usaha itu turut dijalankan dengan kerjasama Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – UTUSAN ONLINE











