JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengadakan perjumpaan Hari Raya Aidilfitri dengan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri di Istana Pasir Pelangi, esok.
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, perjumpaan itu dijadualkan berlangsung pada pukul 4 petang.
“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengadakan Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua-Ketua Bahagian Bersatu negeri pada 10 Jun 2019, pukul 4 petang bertempat di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
“Sesungguhnya, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Tuanku mengadakan Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Tambah beliau, pihaknya turut berharap perjumpaan itu akan dapat mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sempena keberkatan bulan Syawal ini.
Semalam, Sultan Ibrahim berkenan menerima permohonan Perhubungan UMNO negeri untuk mengadap baginda sempena sambutan Aidilfitri tahun ini. – UTUSAN ONLINE











