KUALA LUMPUR – Juara bertahan skuasy kebangsaan, S. Sivasangari berazam untuk menempatkan diri dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia menjelang akhir musim ini.
Pemain ke-50 dunia itu yang ketika ini bercuti daripada mengikuti pengajian di Amerika Syarikat (AS), berkata dia tidak mahu terlalu memaksa diri untuk mencapai sasaran itu, sebaliknya menikmati penyertaannya dalam beberapa kejohanan seperti Kejohanan Beregu Dunia WSF dan Terbuka Australia, yang dijadual diadakan pada Jun serta Julai ini.
“Saya memang tidak menyertai banyak kejohanan dalam musim ini kerana saya lebih memberi tumpuan kepada pengajian saya. Meraih kejuaraan pada siri pro kelab raket di AS pada bulan lalu, memberi saya sedikit kekuatan supaya tidak berputus asa.
“Terdapat beberapa kejohanan di AS pada Ogos ini dan harap-harap saya mendapat keputusan positif untuk memperbaiki ranking saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sivasangari, 20, berkata dia berdepan kesukaran untuk beraksi dengan baik pada musim ini kerana perlu menyeimbangkan antara pengajian di Cornell University di Ithaca, New York, selain berlatih di bawah bimbingan bekas pemain nombor satu dunia dan juara dunia dua kali, David Palmer dari Australia.
“Latihan ini berlainan berbanding di Malaysia, tetapi saya perlu bijak dalam mengendalikan kekuatan mental saya, sebab kalau gagal, ia akan menjejaskan pengajian saya. Kaedah latihan di bawah Palmer sangat baik tetapi saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan dalam rutin latihan,” jelas pemenang Pemain Muda Terbaik PSA 2018.
Dalam perkembangan lain, pemenang anugerah Yayasan CIMB itu berpendapat agak mustahil bagi pemain sedia ada untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Nicol David, yang meletakkan skuasy wanita pada tahap paling tinggi di dunia.
Nicol yang juga bekas pemain nombor satu dua dan juara dunia lapan kali, mengumumkan persaraannya baru-baru ini selepas mengharungi musim yang gemilang sejak dua dekad lalu.
“Ramai yang ternanti-nanti siapakah yang akan menggantikan tempat Nicol, tetapi saya tidak mahu memaksa diri sebab saya perlu seimbangkan antara pengajian dan latihan. Sebaik sahaja saya menjadi pemain sepenuh masa, saya akan berusaha habis-habisan demi karier saya,” kata anak jati Kedah itu. – BERNAMA











