TEMERLOH 1 Jun – Penggunaan pokok periuk secara besar-besaran untuk memasak lemangmenjadi antara faktor penyumbang kepada kepupusan tumbuhan eksotik itu di negara ini.
Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) negeri, Noor Jehan Abu Bakar berkata, meskipun perubahan cuaca menjadi faktor utama, tindakan mengambil periuk kera untuk memasak lemang mempercepatkan kepupusan tumbuhan berbentuk seperti karung itu.
“Periuk kera ini bukan seperti manusia atau haiwan apabila cuaca panas boleh bergerak ke tempat lain. Kalau panas dan suhu tinggi, ia boleh mati.
“Akibat perubahan cuaca itu menyebabkan periuk kera ini beransur-ansur pupus. Manusia pula pergi menuai dalam jumlah yang besar, maka semain cepatlah ia pupus,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noor Jehan, artikel dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang melaporan seorang pencari periuk kera memerlukan 140,000 kelonsong menunjukkan ia diambil secara besar-besaran.
Katanya, pengambilan secara besar-besaran berbanding tempoh pembiakan tumbuhan itu yang agak lambat dan di kawasan tertentu menyumbang kepada kepupusannya. – UTUSAN ONLINE











