SETIAP kali musim perayaan terutamanya Aidilfitri, isu keselamatan jalan raya sering menjadi topik perbincangan berikutan orang ramai khususnya warga kota akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga tercinta atau menziarahi sanak saudara.
Jutaan kereta yang berada serentak di atas jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan merupakan fenomena lazim setahun sekali. Perkara itu turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kemalangan.
Sehubungan itu, kerajaan dan pelbagai pihak termasuklah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) menganjurkan kempen berkaitan keselamatan jalan raya terutama pada musim perayaan bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Slogan-slogan seperti ‘ingatlah insan yang tersayang’ dan ‘berhati-hati di jalan raya’ sering menjadi mesej dalam kempen-kempen pada musim perayaan bagi mengelak kecelakaan yang boleh meragut nyawa.
Sebagai insan berfamili, saranan kempen keselamatan itu sentiasa disambut baik oleh Intan Suraini Rosdi, 45, yang akan memastikan dirinya sekeluarga membuat persediaan awal dan memandu dengan lebih berwaspada.
“Saya dan suami akan memastikan kereta diselenggara awal serta merancang perjalanan kami dengan baik.
“Kereta juga perlu berada dalam keadaan bersih dan selesa memandangkan akan menempuh perjalanan yang jauh apatah lagi bakal menghadapi kesesakan jalan raya,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu akan pulang beraya tahun ini di kampung suaminya yang terletak di Teluk Intan, Perak.
Intan Suraini memberitahu, pada hari biasa, mereka akan sampai ke kampung hanya dalam tempoh dua jam sebaliknya ketika musim raya, ia boleh berlanjutan sehingga lima jam.
Akuinya, perjalanan yang panjang itu agak memberi tekanan apatah lagi dalam keadaan jalan raya yang sesak. Dia dan suami mengambil jalan untuk bertolak ansur dengan memandu bergilir-gilir.
Statistik
Menurut statistik dua tahun kebelakangan, kemalangan jalan raya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan data Ops Sikap dan Selamat menunjukkan berlaku peningkatan jumlah kemalangan dengan 22,411 kes dilaporkan pada 2018 berbanding 22,402 kes pada tahun 2017.
Menurut Ketua Pengarah JKJR, Datuk Rosli Isa, secara keseluruhan, jumlah kemalangan di Malaysia juga mencatatkan peningkatan sebanyak 548,598 kes sepanjang 2018 berbanding 533,875 kes sepanjang tahun 2017.
“Berdasarkan daripada data itu, kita dapat simpulkan bahawa hampir setiap minit berlaku kemalangan di Malaysia dan seorang meninggal dunia dalam setiap 80 minit.
“Terdapat tiga faktor utama yang menjadi punca kepada kemalangan di jalan raya iaitu manusia, jalan raya dan kenderaan,” katanya ketika ditemui K2 di ibu pejabat JKJR di Presint 4, Putrajaya baru-baru ini.
Biarpun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan sedikit penurunan pada tahun 2018 iaitu sebanyak 6,284 orang berbanding 6,740 orang pada tahun 2017, namun isu keselamatan harus sentiasa dipertingkat terutama pada musim perayaan.
Terang beliau, sebanyak 80 peratus kemalangan berpunca daripada manusia iaitu sikap, misalnya memandu melebihi had laju yang ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, mementingkan diri sendiri dan memandu dalam keadaan mengantuk atau mabuk.
Faktor jalan raya pula menyumbang sebanyak 13 peratus kepada tragedi tersebut seperti jalan raya berlubang atau tidak rata, selekoh tajam dan jalan yang tidak diselenggara dengan baik.
Selain itu, faktor kenderaan pula menyumbang sebanyak tujuh peratus, misalnya kenderaan tidak diselenggara dengan baik dan sistem brek gagal berfungsi.
Beliau turut menyarankan beberapa langkah untuk mencegah kemalangan jalan raya seperti merancang perjalanan, memberi sepenuh tumpuan ketika memandu, bertoleransi dengan pemandu lain dan menggunakan isyarat pemanduan yang betul.
“Jalan raya akan menjadi tempat yang selamat jika semua orang memandu dengan berhati-hati dan sentiasa berwaspada serta menghormati undang-undang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Menurutnya, menjelang musim perayaan tahun ini, pihaknya telah mengadakan program Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang bertindak sebagai agensi penyelaras dengan sokongan daripada pelbagai pihak seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pihak kami turut bekerjasama dengan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bagi program tahunan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-21 pada 28 Mei lalu di Seremban,” jelasnya yang juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Jalan Raya.
Tidur mikro
Sementara itu, berbicara mengenai salah satu punca utama kemalangan yang mungkin kurang didedahkan kepada awam sebelum ini ialah tidur mikro (microsleep).
Pakar Psikiatri dan Exco Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Ahmad Rostam Md. Zin memberitahu, ia boleh difahami sebagai satu situasi yang berlaku di luar kawalan hanya dalam tempoh amat singkat iaitu dalam beberapa saat.
“Tidur mikro boleh berlaku tanpa ada amaran awal dan anda tidak sedar bahawa telah tertidur.
“Ia boleh terjadi apabila seseorang itu melakukan sesuatu aktiviti yang serupa dalam tempoh berpanjangan seperti mengendali mesin, memandu kereta dan mendengar perbualan orang lain,” jelasnya.
Dengan memberikan contoh insiden akibat tidur mikro, Ahmad Rostam berkata, jika seseorang itu memandu di lebuh raya dengan kelajuan 110 kilometer sejam dan tertidur selama enam saat sahaja, dia sebenarnya sudah terdedah kepada risiko kemalangan sekurang-kurangnya pada jarak sejauh 200 meter.
“Dalam jarak 200 meter, ada banyak perkara boleh berlaku termasuklah tertukar ke lorong bersebelahan, tidak sedar orang membrek di hadapan dan tidak perasaan kesesakan jalan raya,” katanya.
Terangnya, secara umum fenomena tidur mikro dikaitkan dengan individu yang mempunyai masalah kurang tidur tetapi ada beberapa faktor risiko lain yang perlu diambil tahu untuk memastikan diri tidak terdedah dengan insiden tidur mikro.
Faktor risiko itu ialah masalah insomnia, penyakit sleep apnea, waktu tidur tidak teratur, kerja shif malam, penyakit narcolepsy dan penggunaan ubat-ubatan yang menyebabkan kesan mengantuk.
“Petanda seseorang itu sedang mengalami tidur mikro ialah pandangan yang kosong, kepala tersengguk, kerdipan mata yang semakin perlahan tetapi kerap, perasaan terkejut dan tidak sedar apa yang berlaku beberapa saat sebelum itu.
“Oleh itu, saya menasihatkan agar orang ramai mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan, ambil masa tidur singkat (qailulah) tidak melebihi 20 minit jika berasa letih,” ulasnya lagi.
Ahmad Rostam berkata, minuman berkafein pula hanya berkesan lebih kurang 30 minit dari tempoh pengambilan dan kafein berlebihan boleh memberikan kesan sampingan yang tidak diingini seperti keresahan dan berdebar-debar.
Justeru, sentiasalah beringat tentang risiko kemalangan. Semoga kita semua selamat pulang ke kampung dan dapat merayakan Aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran dan kebahagiaan bersama keluarga tersayang.
Semasa kita memandu pulang ke kampung, sentiasalah beringat bahawa 80 peratus faktor kemalangan adalah berpunca daripada sikap manusia sendiri.











