MANCHESTER – Penyerang Manchester City, Raheem Sterling dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak England (FWA) kelmarin.
Ia merupakan anugerah kedua musim ini selepas pemain skuad antarabangsa England itu telah memenangi Anugerah Pemain Muda Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) England hujung bulan lalu.
Justeru, Sterling kini optimis untuk membantu pasukannya mencatatkan kemenangan ketika berdepan Brighton bagi aksi terakhir Liga Perdana England (EPL) sebagai pelengkap untuk merangkul kejuaraan EPL selepas mereka kini hanya dipisahkan satu mata dengan pencabar terdekat, Liverpool.
“Trofi ini amat istimewa bagi saya selepas mendapat undian daripada penulis sukan di England.
“Kemenangan ini pastinya amat baik untuk persiapan dalam aksi yang paling besar dalam hidup saya.
“Hujung minggu ini, kami akan turun untuk mencatatkan kemenangan ke atas Brighton sebelum sah meletakkan City sebagai juara EPL.
“Ibu merupakan sumber inspirasi utama dalam karier saya sebagai seorang pemain profesional kerana saya sering melihat beliau sentiasa berjuang dalam hidupnya. Jika ibu saya mampu lakukan, mengapa tidak saya,” kata Sterling.
Kejayaan menundukkan Brighton malam esok cukup penting untuk memastikan City mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. – Agensi











