KUALA LUMPUR 25 Mei – Pucuk pimpinan PKR didesak menubuhkan sebuah panel siasatan bebas, memiliki kepakaran dalam gangguan seksual dan pelbagai gender bagi meneliti dakwaan kes itu yang dihadapi Ahli Parlimen Sungai Siput, K. Subramaniam.
Kumpulan Tindakan bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) berkata, pihaknya turut menggesa agar pimpinan parti itu memandang serius berhubung dakwaan berkenaan dan segera melakukan siasatan dalaman.
“Parti politik tidak boleh bertolak ansur dengan gangguan seksual ini dan rakyat berhak untuk mendapatkan wakil rakyat yang menghormati wanita.
“Kami juga mengambil maklum bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan mengenai isu ini. Walaupun begitu, undang-undang jenayah sedia ada tidak mencukupi untuk gangguan seksual, justeru siasatan polis mungkin tidak dapat menyelesaikan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 17 Mei lalu, seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai bekas pegawai penyelidik Parlimen itu kerap menerima gangguan secara seksual sejak Disember tahun lalu.
Selain gambar-gambar lucah, pengadu yang juga bendahari Cabang PKR Sungai Siput mendakwa Kesavan turut menunjukkan ‘Kamasutra’, buku lama mengenai seksualiti dan erotik.
Tambah kenyataan itu, di samping menyiasat kes terbabit, panel berkenaan perlu mengkaji semula dasar-dasar dan tindak balas PKR terhadap gangguan seksual secara amnya.
“Kes ini menunjukkan bertapa perlunya Rang Undang-Undang Gangguan Seksual diluluskan namun, PKR tidak perlu menunggu undang-undang ini untuk menyelesaikannya serta berpegang kepada piawaian dalam yang tinggi.
“Kami meminta agar semua parti politik mengadakan dasar untuk mencegah dan bertindak terhadap gangguan seksual,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE










