Penguatkuasaan terhadap anjing liar ikut SOP - MBI - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan terhadap anjing liar ikut SOP – MBI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 24 Mei – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menegaskan pihak penguat kuasanya sentiasa konsisten menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik anjing serta pemusnahan anjing liar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

MBI dalam satu kenyataan menjelaskan, insiden video pemusnahan anjing liar yang ditularkan dalam media sosial melibatkan penguat kuasanya itu telah berlaku pada 22 Mei lalu pada pukul 10 pagi.

“Satu Unit Kawalan Anjing Penguat Kuasa MBI telah ditugaskan ke skim perumahan baharu di Pengkalan Gate bagi menyelesaikan aduan berulang berkaitan banyak anjing yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka telah dibawa oleh wakil penduduk kawasan tersebut bagi mengatasi aduan berkaitan anjing liar yang telah menyerang kambing ternakan dan seorang pegawai kanan tentera,” kata kenyataan tersebut yang turut disiarkan di laman sosial Facebook MBI hari ini.

Menurut kenyataan itu, seekor anjing liar telah dimusnahkan oleh penguat kuasa MBI di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan aduan tersebut.

Malahan katanya, kaedah pemusnahan yang digunakan adalah mengikut prosedur ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987.

“Sehubungan itu, warga kota adalah dipohon untuk sama-sama membantu mengatasi masalah anjing liar di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian WhatsApp MBI 019-5503083.

“Semoga bandar raya Ipoh akan bebas daripada masalah anjing liar,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini