PUTRAJAYA 24 Mei- Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh ketegasan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempertahankan pelaksanaan sistem pendidikan matrikulasi.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, kerajaan wajib untuk terus melaksanakan program matrikulasi walaupun ia dilabelkan sebagai ‘pintu belakang’ untuk anak-anak bumiputera memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kami menyokong ketegasan Maszlee mempertahankan pelaksanaan sistem pendidikan matrikulasi, sekali pun ia dilabelkan sebagai ‘pintu belakang’ khusus untuk pelajar bumiputera dari kawasan luar bandar dan B40 memasuki IPT.
“Pihak yang mempertikaikan perkara ini terlalu cauvinis dan tidak menjaga sensitiviti. Mereka juga tiada sifat toleransi, terlalu angkuh dan mempersoalkan hak kami, sedangkan kami sentiasa bertoleransi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Hasan mengetuai rombongan bersama beberapa NGO seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berjumpa Maszlee selama 45 minit di kementeriannya hari ini.
Baru-baru ini beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA mengecam Maszlee dan menuntut permohonan maaf serta peletakan jawatan daripadanya kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.
Maszlee dikatakan mengeluarkan kenyataan mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin di hadapan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.-UTUSAN ONLINE
habis.










