PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam mengulangi bahawa beliau tidak akan merombak Kabinetnya dan memberi sokongan 100 peratus kepada pasukannya.
“Mereka menunjukkan prestasi baik, tiada sebab untuk saya merombak Kabinet,” kata beliau.
Bercakap pada sidang akhbar khas sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri mengakui kebanyakan menterinya orang baharu dan kurang berpengalaman ketika mereka mula-mula dilantik ke jawatan masing-masing.
“Tambahan pula, mereka sangat takut dituduh melakukan kesalahan. Ini menyebabkan mereka sukar hendak membuat keputusan tetapi mereka cepat belajar,” kata Dr. Mahathir.
Apabila diminta memberi penilaian terhadap prestasi para menterinya, Dr. Mahathir berkata, beliau memberi mereka 5 markah daripada 10 kerana beliau sangat konservatif.
“Kadang-kadang mereka melakukan sesuatu perkara tanpa merujuk pandangan saya terlebih dahulu, itu tidak sepatutnya dilakukan. Ia menyebabkan timbul beberapa masalah kecil. Tapi mereka belajar…
“Kadang-kadang mereka mendapat publisiti buruk daripada tindakan mereka itu, kemudian mereka datang berjumpa saya untuk bertanyakan apa yang patut dilakukan. Saya akan dengar apa yang mereka katakan dan memberikan penilaian,” kata beliau.
Dr. Mahathir berkata, sebagai Perdana Menteri beliau cuba mengajar dan membimbing mereka dan beliau yakin mereka akan menunjukkan prestasi yang dapat menyamai orang berpengalaman jika diberi masa.
Sementara itu, semasa berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata, Ramadan bukan sahaja bulan untuk berpuasa menahan lapar pada siang hari tetapi juga melatih diri supaya berdisiplin untuk mengawal diri daripada dipengaruhi nafsu.
Beliau berkata orang yang dapat mengawal nafsu adalah orang yang dipercayai dalam melaksanakan setiap urusan.
“Umpamanya rasuah, kita tahu itu tidak baik dan berdosa, tetapi kita tak melawan nafsu apabila dihulur rasuah kepada kita,” katanya.











