Lelaki mengamuk bawa parang cederakan dua anggota polis di Raub - Utusan Malaysia

Lelaki mengamuk bawa parang cederakan dua anggota polis di Raub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB 3 Mac – Seorang lelaki ditahan polis selepas kira-kira dua jam mengamuk dengan memecah masuk tiga buah rumah penduduk di Taman Amalina Lestari di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, lelaki berkenaan yang membawa parang bertindak mengumpil jeriji tingkap dan pintu tiga buah rumah sebelum memasukinya serta merosakkan barang di dalamnya.

Suspek yang tidak melarikan apa-apa barang berharga hanya merosakkan barang di dalam rumah termasuk siling dan kipas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek yang beralamat di Kelantan berjaya ditahan oleh polis dan penduduk ketika melarikan diri ke dalam tandas sebuah kedai.

Katanya, semasa pergelutan untuk menahan suspek, dua anggota polis mengalami kecederaan di tangan selepas terkena parang yang dilibasnya.

“Dua anggota berkenaan mendapat rawatan di hospital dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kita masih giat melakukan siasatan termasuk mengenal pasti motif tindakan yang dilakukan oleh suspek. Kita juga sedang mengesan rakan suspek yang menumpangkan suspek tinggal di rumahnya malam semalam,” kata kepada Utusan Online di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini