KOTA BHARU 24 Mei – Kekuatan mental yang tinggi akan menjadi penentu kepada nasib Kelantan pada pertemuan menentang Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
Pengendali The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah berkata, ketiadaan sifat itu dilihat mampu ‘membunuh’ semangat juang sekaligus meletakkan pasukan itu terus berada dalam keadaan tertekan.
Menurutnya, bukan itu sahaja pemain TRW juga perlu mengelakkan lawan mendapat jaringan awal pada perlawanan tersebut kerana ia akan menambah derita pasukan.
“Sebab itulah saya amat menitik beratkan soal ini (ketahanan mental) kerana mahu mengelakkan situasi sama (kekalahan) terus berulang.
“Kita tidak boleh kalah dan perlu segera merapatkan jurang dengan pasukan Sarawak seterusnya berusaha keluar daripada zon penyingkiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Yusri memberitahu, biarpun bakal berdepan ujian getir dalam memburu kemenangan ditambah pula ketiadaan pemain import, namun dia tetap percaya kepada barisan yang membarisi TRW ketika ini.
Katanya, dia mahu barisan pemain tidak terus berputus asa sebaliknya memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti.
“Cuma pesan saya, jangan beri laluan mudah buat dua penyerang lawan iaitu Akini Sunday dan Bruno Suzuki.
“Kedua-dua pemain ini amat bahaya, mereka bijak menghidu dan memanfaat peluang terhidang,” ujarnya.
Selepas mengharungi 13 perlawanan Kelantan kini menghuni tangga tercorot Liga Perdana dengan mengumpul lapan mata. – UTUSAN ONLIN











