KUALA LUMPUR 13 Mei – Isu ‘kartel dedak’ yang didedahkan menantu Presiden Pas, Zaharudin Muhammad sama sekali tidak akan mengganggu pemilihan Muktamar Pas Ke-65 yang akan berlangsung pada 21 Jun ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kes itu akan dibawa kepada jawatankuasa tatatertib yang akan menghalang sebarang kenyataan tidak berasas dikeluarkan sewaktu siasatan dilakukan.
“Kita fokus kepada pemilihan Muktamar Pas yang akan berlangsung selama tiga hari di Indera Mahkota, Pahang.
“Bagi pemilihan Muktamar Dewan Muslimat, ia akan berlangsung pada 15 Jun manakala Muktamar Dewan Ulama pula akan berlangsung pada 20 Jun. Pemilihan Muktamar Dewan Pemuda pula akan berlangsung pada 19 Jun hingga 20 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dialog Pas bersama media yang berlangsung di Hotel De Palma di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan kepemimpinan tertinggi yang lain.
Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan Pas telah menerima hampir 20,000 pendaftaran baharu daripada orang ramai untuk menjadi ahli parti itu dalam tempoh tiga bulan lalu.
Katanya, jumlah itu menunjukkan perkembangan positif hasil kerjasama Pas dan parti pembangkang yang lain khususnya UMNO.
“Kita telah mewujudkan cawangan Pas baharu di Langai, Cameron Highlands selepas mendapat maklum balas positif daripada Orang Asli di sana.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah Pas cawangan Langai ditubuhkan dan ahlinya adalah Orang Asli beragama Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











