LONDON – Pemain sayap Chelsea, Eden Hazard mengakui tidak pasti sama ada aksi final Liga Europa berdepan Arsenal adalah sebagai aksi terakhirnya bersama The Blues.
Pemain skuad antarabangsa Belgium tersebut bersedia melengkapkan perpindahan ke Real Madrid pada musim panas ini apabila kelab gergasi Sepanyol itu menawarkan kontrak melebihi £100 juta (RM541 juta).
Pada masa sama, Hazard juga dilihat seperti memberikan lambaian istimewa kepada penyokong The Blues ketika menjaringkan gol kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3 ke atas Eintracht Frankfurt di pentas separuh akhir Liga Europa di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Selepas tamat perlawanan, Hazard tampil ke hadapan penyokong dan membaling jersinya sebelum memberikan lambaian istimewa dan meninggalkan padang.
Situasi itu telah menimbulkan kegelisahan penyokong meskipun laporan tempatan mengesahkan bahawa Hazard belum membuat sebarang keputusan berhubung masa depan kariernya.
“Saya masih belum berfikir tentang penghijrahan ke Real selepas tamat perlawanan kali ini.
“Dalam kepala saya sekarang hanyalah untuk menyumbangkan kemenangan kepada Chelsea dan juga penyokong.
“Jika pentas final Liga Europa nanti sebagai aksi terakhir bersama Chelsea, pastinya saya akan melakukan yang terbaik. Jadi, kita perlu tunggu saat tersebut nanti.
“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah saya belum pasti untuk berhijrah atau sebaliknya,” kata Hazard. – Agensi











