KUALA LUMPUR 10 Mei – Insiden lambakan penyokong yang melebihi kapasiti penonton dalam final Piala AFF 2018 dan isu penjualan tiket tidak akan berulang apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan pertemuan khas bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengadakan perbincangan bersama Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes di Wisma FAM hari ini bagi membincangkan keselamatan dan penjualan tiket selain penambahbaikkan perkhidmatan pelanggan korporat dan pengalaman menonton yang selesa di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Hamidin berkata beliau menyambut baik cadangan tersebut sambil berpendapat bahawa idea Fernandes untuk menjadikan stadium yang berkapasiti 85,000 tempat duduk ke arah ‘Pengalaman di Wembley’ itu mampu mendatangkan manfaat kedua-kedua pihak.
“Kami menyokong sepenuhnya cadangan PSM untuk menjadikan KLSC (Bandar Sukan Kuala Lumpur) destinasi menarik untuk semua.
“Beberapa cetusan idea baharu, termasuk lawatan ke stadium untuk pengunjung dan kedai menjual barangan rasmi yang tetap. Sebagai klien, FAM gembira dapat bekerjasama dengan PSM,” kata Hamidin.
Dalam pada itu, Fernandes turut berbesar hati dengan peluang berkongsi idea bersama Hamidin dan FAM.
“Kami gembira bertemu dengan Datuk Hamidin dan FAM. Dengan pengalaman saya dalam industri penerbangan, sukan dan hiburan, kami bercadang menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai pusat tumpuan bola sepak utama di rantau ini,” kata Fernandes.
Tahun lalu, final Piala AFF di antara Malaysia bertemu Vietnam di venue yang sama menjadi isu apabila ribuan penyokong Harimau Malaya tidak dapat membeli tiket meskipun ada dalam kalangan mereka beratur sehari awal dari kaunter dibuka.
Tidak terhenti di situ, jumlah penonton yang hadir pada perlawanan tersebut juga didapati melebihi kapasiti stadium sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penyokong. – UTUSAN ONLINE











